Derita sekampung satu perigi, penduduk tagih perubahan yang belum pasti
Assim Hassan
September 18, 2020 16:49 MYT
September 18, 2020 16:49 MYT
SEAWAL jam 7 pagi, Undang Kurim akan mengumpul botol dan bekas kosong untuk dibawa ke sebuah perigi di Kampung Mapan-Mapan, Pitas.
Mungkin jarak 600 meter suatu rutin yang terjangkau kemampuan orang lain, tapi baginya yang sudah menginjak usia 68 tahun, kelaziman harian itu menuntut keperihan atas sisa tenaganya.
Mujur ibu tunggal itu tidak keseorangan. Dia ditemani anak-anaknya untuk menimba air dari perigi tersebut untuk kegunaan harian. Namun jika kegunaan air melebihi kuantiti biasa, berulang jugalah mereka ke perigi itu.
Rutin harian tersebut bukan hanya perlu digagahi Undang malah dilakukan 231 penduduk kampung berkenaan yang bergantung harap pada telaga tunggal itu.
Akui Undang, sejak dirinya kanak-kanak hingga kini dikategorikan sebagai warga emas, malah kemerdekaan Sabah sudah memasuki tahun ke-57, derita itu terus menghimpit mereka.
Ketika banyak masyarakat di daerah dan negeri lain di seluruh negara sudah mengecap nikmat pembangunan serta angan-angan gaya hidup masa depan, mereka di kampung itu masih dipegun waktu dan terperangkap dalam dimensi masa lampau.
"Kalau hujan turun memang satu rahmat buat saya dan penduduk kampung. Kami dapat menadah air hujan untuk kegunaan harian seperti memasak, membasuh pakaian, mengambil wuduk dan bermacam-macam lagi.
"Tetapi jika tidak hujan... terpaksa kami beramai-ramai ke perigi ini untuk mengambil air. Siapa ada kereta sorong senang sedikit menyorong botol dan gelen (bekas) dipenuhi air," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Sakit pinggang dan lenguh lengan serta kaki umpama asam garam buatnya dan penduduk kampung tersebut.
Kata orang, alah bisa tegal biasa. Namun dalam situasi seperti itu, perumpamaan itu seperti tidak adil untuk mereka. Ia ibarat suatu ‘pencabulan’ hasrat hidup.
"Tua-tua begini memanglah sakit pinggang kalau mengangkut air ini. Tetapi kalau sakit pinggang saya akan rehat sekejap, kalau sudah reda sakit, akan sambung balik. Mesti juga sambut air di perigi ini walaupun sakit sebab ia untuk kegunaan harian," rintihnya.
Selain itu, bagi pemilik gerai makan di kampung tersebut, Norhaini Mat Nur, 41, kepayahan ketiadaan sistem bekalan air bersih di kampungnya menyukarkan rutin harian.
Setiap pagi, katanya, suaminya akan mula mengangkut air dari perigi manakala dia mempersiapkan kelengkapan untuk berjualan.
"Kalau mahu guna air kena berjimat cermat... perlu pandai catu air yang diangkat dari perigi atau air hujan. Saya akan mengasingkannya untuk mencuci pinggan dan untuk kegunaan memasak.
"Bukan itu sahaja, air di perigi ini kadang-kadang berwarna merah atau kekuningan, apabila membasuh baju sekolah akan meninggalkan kesan. Kadangkala rasa air perigi itu juga masin seperti air laut," katanya.
Sementara itu, Ketua Kampung Mapan-Mapan, Osman Suhor yang baru mengambil alih tanggungjawab tersebut berharap Kerajaan Persekutuan dan negeri meninjau derita yang penduduk kampung itu hadapi sejak puluhan tahun.
"Harapan saya kepada mana-mana parti sama ada Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk datang ke kampung kami ini untuk sama-sama mengatasi masalah kampung ini," katanya.
Kampung Mapan-Mapan termasuk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka yang merupakan DUN baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini. DUN Bengkoka juga menyaksikan pertembungan 11 penjuru dan merekodkan sejarah sepanjang pilihan raya.