Derita rakyat Palestin hanya terbalas selepas Netanyahu ditangkap - IKRAM
Khalis Khadir
Januari 22, 2025 21:47 MYT
Januari 22, 2025 21:47 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada Ahad lalu, masyarakat dunia mempunyai satu lagi misi iaitu mengheret Benjamin Netanyahu ke muka pengadilan.
Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Badlishah Sham Baharin berkata, membiarkan Perdana Menteri Israel itu kekal bebas merupakan penghinaan terhadap nilai keadilan.
"Pembunuhan beramai-ramai dipercayai diperlakukan dengan sokongan kuasa Barat, terutamanya Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, dan Jerman.
"Sokongan tanpa syarat mereka dalam menghantar bom dan peluru berpandu, bagaikan memberi lesen kepada Israel untuk menggunakan senjata canggih ini ke atas rakyat Gaza.
"Kami menyeru semua pihak berkaitan agar menghentikan pembekalan senjata kepada Israel untuk mengelakkan sebarang pembunuhan dan jenayah perang pada masa hadapan," katanya.
Bercakap pada sidang media, di sini, pada Rabu, beliau menyokong usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang teguh memperjuang agar Palestin menjadi sebuah negara berdaulat.
Badlishah berkata, ia memerlukan komitmen semua pihak termasuk peranan yang dianggap kecil seperti memboikot produk berkaitan Israel.
Kenyataan ini merupakan suara 32 pertubuhan bukan kerajaan dari Malaysia yang komited memberikan advokasi kepada masyarakat, kerana setiap kealpaan akan memberi ruang kepada Zionis menjajah Palestin.