Derita psoriasis serius, Nur Qalisya rindu ke sekolah

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 28, 2019 22:19 MYT
Penyakit yang dialami Nur Qalisya Noor Azmi menyebabkan dia kini hanya mampu terlantar. - Foto Astro AWANI
Seorang murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Minden Height, George Town, Pulau Pinang terpaksa melupakan seketika hasrat untuk ke sekolah selepas diserang penyakit psoriasis serius, sejak enam bulan lalu.
Akibat penyakit itu, Nur Qalisya Noor Azmi, 9 tahun, kini terpaksa menanggung derita akibat seluruh kulit badannya menggelupas, gatal-gatal dan pedih.
Disebabkan itu, Nur Qalisya tidak dapat hadir ke sekolah sejak awal sesi persekolahan bermula tahun ini kerana kulit badannya amat sensitif dengan cuaca panas.
Ibunya, Noorrehan Che Saad, 33, berkata, Nur Qalisya dikesan mengalami masalah kulit itu sejak pertengahan Jun tahun lalu menyebabkan persekolahannya mula terganggu.
"Dia sakit sejak bulan Jun tahun lepas dan semakin hari semakin teruk... cuti sekolah baru ni lagi teruk.
"Selepas sekolah dibuka, saya beritahu dekat guru besar, dia tidak boleh ke sekolah. Guru besar kata tak apa, dan dia pun datang rumah untuk melawat," katanya ketika ditemui pada Isnin.
Norrehan yang ditemui dirumahnya di Taman Tun Sardon berkata, penyakit anaknya semakin teruk sejak cuti persekolahan baru-baru ini menyebabkan dia kini hanya mampu terlantar.
"Sebelum ini dia aktif... bila datang penyakit ni dia jadi lemah, tidur sahaja. Makan pun dia kurang," jelasnya.
Norrehan berkata, hatinya hiba apabila anak ketiga daripada empat beradik itu sering memberitahu bahawa dia rindukan kawan-kawan sekolahnya.
Katanya, Nur Qhalisya kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Dalam pada itu, kerinduan Nur Qalisya terhadap alam persekolahan sedikit terubat apabila menerima kunjungan daripada Pengarah Pendidikan negeri, Dr Mahanom Mat Sam dan para guru SK Minden Height.
Turut hadir menerusi program Ziarah Cakna itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid.
Menurut Dr Mahanom, pihaknya akan memastikan murid itu tidak ketinggalan dalam pelajarannya dengan meminta guru-guru supaya hadir ke rumah kanak-kanak itu secara bergilir-gilir untuk mengajar Nur Qhalisya.
"Dan saya dah bincang dengan pihak sekolah untuk membantu supaya guru dapat hadir secara bergilir setiap hari satu jam ke sini untuk mengajar, agar dia tidak ketinggalan dari segi pelajaran," katanya.
Selain itu, Dr Mahanom berkata, guru kaunseling juga akan hadir ke rumah kanak-kanak itu bagi memberikan motivasi kepada Nur Qhalisya agar terus bersemangat untuk belajar.
#murid tahun tiga #Noorrehan Che Saad #Nur Qalisya Noor Azmi #psoriasis #psoriasis serius #sekolah #SK Minden Height #Taman Tun Sardon
;