Derita pesakit psoriasis berdepan stigma buruk masyarakat
Rahimah Abdullah
Oktober 30, 2015 17:56 MYT
Oktober 30, 2015 17:56 MYT
Psoriasis, sejenis penyakit kulit kronik boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia dan jantina.
Sehingga kini, 125 juta penduduk seluruh dunia menghidap psoriasis dan tidak terkecuali Malaysia dengan 12,462 pesakit.
Psoriasis memberi kesan kepada sendi dan paling ketara di bahagian kulit yang kelihatan kemerah-merahan serta menggelupas, menyebabkan ramai antara pesakit malu untuk menonjolkan diri di khalayak ramai.
Salah seorang pesakit psoriasis, Rismayanti Idris, 26 tahun menjalani kesukaran hidup kerana menghidap penyakit itu.
Penyakit itu mula dikesan semasa dia di Darjah Lima.
"Pada mulanya macam ada kelemumur di kepala. Saya sikat berulang kali, namun ia jadi makin teruk. Dalam masa tiga hari penyakit ini menyerang dekat seluruh badan saya," katanya kepada Astro AWANI.
Selepas memperoleh diploma dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), Rismayanti kemudian memulakan kerjaya sebagai seorang guru di sebuah sekolah.
Bagaimanapun, tidak tahan dengan keadaan persekitaran ditambah dengan perasaan rendah diri akibat kekurangan diri itu, dia berhenti kerja sebagai pendidik dan lebih selesa bekerja dalam pejabat di sektor kerajaan.
Beliau seakan sudah lali dengan cacian orang sekeliling yang seperti jijik melihat kulitnya yang kemerah-merahan dan menggelupas.
Malah, ramai yang cuba menjauhinya kerana kononnya penyakit kulit itu berjangkit.
"Pernah semasa saya Tingkatan 1, ada rakan sekelas saya dia panggil saya "kurap" dan saya sangat terasa dengan kata-kata itu. Yelah, saya dihina dengan perkataan kurap," katanya sebak.
Selepas meningkat dewasa gadis ini nyata sudah lali dengan semua kutukan sesetengah orang.
"Makin lama saya sudah makin biasa dengan ejekan orang. Sekarang, apabila pergi di khalayak ramai pun saya rasa tak mengapa. Macam tak ada masalah," ujar beliau.
Bagi mengelak penyakit kulitnya itu melarat, Rismayanti menyapu krim selain satu lagi ubat yang perlu dimakan.
Kerana itu juga, Rismayanti tidak pernah bersolek atau memakai pakaian hitam bagi mengelak daripada berpeluh, sekali gus memudaratkan lagi keadaannya.
"Sebenarnya seumur hidup sekali sahaja saya bersolek iaitu pada hari perkahwinan saya. Selain daripada itu memang tidak pernah bersolek kerana kalau saya cuba pakai bedak dan alat solek lain, kulit muka saya akan bertambah parah," jelas Rismayanti.
Anak keempat dari enam adik-beradik ini bagaimanapun bersyukur kerana masih ada suami dan keluarga yang sentiasa memberi sokongan dan semangat untuknya meneruskan kehidupan seperti biasa.
"Saya sudah berkahwin dua tahun lalu. Suami tahu masalah penyakit saya ini. Saya bersyukur dia boleh menerima saya seadanya.
"Keluarga juga banyak memberi semangat kepada saya, terutama kakak saya. Saya tidak akan lupa jasa mereka," katanya lagi.
Kepada pesakit yang mengalami penyakit sama, Rismayanti berharap mereka berani dan tidak menghiraukan cacian orang sekeliling, sebaliknya bangkit menjadi insan berjaya.
"Janganlah malu atau cuba sembunyikan diri kalau dapat penyakit seperti ini. Buktikan pada orang lain bahawa kita pun boleh berjaya.
"Kalau orang gelar saya 'kurap', saya akan senyum sahaja," ujarnya.
Rismayanti adalah antara puluhan pesakit Psoriasis yang mengikuti Dialog Interaktif bersama pesakit dan pakar sempena sambutan Hari Psoriasis di Hospital Kuala Lumpur.
Hari Psoriasis Sedunia disambut 29 Oktober setiap tahun bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penyakit kronik ini selain memberi peluang kepada pesakit untuk berkongsi pengalaman serta kehidupan seharian mereka.