Derita nelayan Sg Lereh: 'Kalau begini, kami pencen saja, tapi nak makan apa?'

Israr Khalid
November 18, 2021 08:45 MYT
Nelayan berkata, selalu saja pukat dan jaring mereka rosak dilanggar kapal korek pasir begini. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Melambung-lambung bot kecil Teh Nyong Seng menongkah arus kuat di muara Sungai Lereh, menyusuri pantai Klebang yang kini sudah ditambak jauh hingga ke tengah laut.
Asalnya air di situ tenang sahaja, kata si nelayan veteran itu, tetapi penambakan di pesisir pantai Melaka sejak kurang lebih sedekad yang lalu telah menyebabkan segala aturan semula jadi alamnya berubah.
Pulau Upih, yang kini terlindung di balik tambak andai dilihat dari perairan muara Sungai Lereh, dahulunya kata Nyong Seng menjadi tempat penyu karah bertelur.
Namun hari ini, spesies yang diancam kepupusan itu sudah lama kelihatan singgah di pulau kecil itu.
“Dulu jaring dapat tangkap ikan cencaru, tenggiri, parang, semua lalu dekat laut depan Pulau Upih pini.
“Saya boleh kata, kalau dulu ikan ada 10 ekor, sekarang tinggal dua ekor saja.”
Sudah jatuh ditimpa tangga ibaratnya. Sudahlah ikan lari, jaring dan pukat yang dipasang pula asyik rosak dilanggar dan tersangkut pada sauh kapal korek pasir.
Apabila ikan sudah tiada di periaran sekitar muara, nelayan Sungai Lereh yang kebanyakannya berbot kecil terpaksa ke tengah sedikit di air yang sedikit tenang.
Tetapi, bot mereka bukan untuk laut tengah, silap hari bulan boleh terbalik dibuatnya.
“Apabila jaring kita sangkut pada kapal, dia salahkan kita kenapa tak jaga jaring, pasang pada tempat kapal lalu. Kita pun tak suruh kapal tu berlabuh di sini, ini kawasan kami tangkap ikan dari dulu.
“Kerajaan kata pembangunan kena jalan. Habis, macam mana?”
Kembali ke jeti di muara, seorang lagi nelayan, Ahmad Omar menunjukkan surat aduannya yang dibuat kepada Jabatan Perikanan Negeri berkenaan kes kapal korek pasir yang memusnahkan jaringnya pada 2016.
Hampir separuh pukatnya ranap dengan anggaran kerugian sekitar RM2,000. Dan, itu bukan kali pertama jaringnya rosak, bukan juga kali pertama dia membuat aduan kepada pihak yang bertanggungjawab.
Namun tanggungjawab yang digalas pihak itu didakwa tidak dilaksanakan sebaiknya. Lima tahun sejak aduan terakhir itu, katanya, sepatah maklum balas pun tidak diterimanya.
“Sebelum ini saya ada juga mengadu kepada Yang Berhormat (YB) terdahulu. Sekarang ini sudah bertukar beberapa YB, satu benda pun tak ada, baik hantar surat, mahu pun ajak berjumpa. Tak ada.
“Ramai nelayan sudah kena, banyak kerosakan pukat, tak termasuk yang tak buat aduan. Maklumlah, kalau kerosakan seratus dua ratus ringgit mereka malas nak buat aduan, tapi itu kos juga.
“Mungkin sebab tak ada respon, mereka pun jadi malas. Hendak mengadu pada siapa lagi pun tak tahu.”
Tidak cukup dengan itu, Ahmad memberitahu, baru-baru ini mereka dipanggil satu pihak pemaju yang katanya hendak menjalankan satu lagi projek tambakan di sebelah utara jeti Tanjung Bruas.
Kalau projek itu jadi, katanya, akan bermula pada Jun tahun depan.
Namun, pertemuan tersebut tidak langsung menyentuh mengenai soal pampasan pada para nelayan di kawasan itu, hanya ditanya setuju atau tidak.
Dek permasalahan yang semakin menekan ini, mereka mewujudkan satu persatuan baharu yang dianggotai sekitar 100 nelayan Sungai Lereh, yang telah pun diluluskan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Sudah letih berdiam diri, kini mereka cuba bangkit untuk memperjuangkan nasib mereka dan masa depan generasi nelayan yang mendatang.
“Saya kasihan, kadang-kadang kebanyakan nelayan ini anak mereka ada dua tiga orang yang ikut jadi nelayan, mereka itulah yang kami hendak bela.
“Kalau tidak, kami pencen saja lah... tapi kalau pencen, hendak makan apa?”
Melaka Memilih: Isu tambak laut | Derita nelayan Sungai Lereh
#PRN Melaka #Melaka Memilih #Sungai Lereh #penambakan di pesisir pantai Melaka
;