Derita Long COVID, KKM rangka program rehabilitasi buat bekas pesakit
Faris Danial Razi
September 24, 2021 22:44 MYT
September 24, 2021 22:44 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) merancang satu program rehabilitasi bagi merawat bekas pesakit COVID-19 yang mengalami gejala-gejala komplikasi jangka panjang atau 'Long COVID'.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, inisiatif itu akan diketuai pakar rehabilitasi di beberapa hospital KKM di seluruh negara.
“Hasil pemantauan terhadap pesakit yang alami gejala Long COVID, kita dapati ada lima gejala yang kerap dilaporkan iaitu kelesuan, kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti tertentu, batuk, kesukaran tidur dan keresahan.
"KKM sedang menjalani dua kajian ketika ini, yang pertama adalah 'Penilaian 90 Hari Kembali Ke Hospital Dalam Kalangan Pesakit COVID-19: Kajian Berpusat Tunggal' di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bahru.
"Kajian kedua adalah 'Ciri-ciri dan Jangkaan daripada pangkalan data Perkhidmatan Khas Rehabilitasi Pesakit Luar COVID-19 (CROSS) di hospital COVID-19 tertentu di Malaysia', di Hospital Sungai Buloh,” ujarnya.
Justeru itu, berdasarkan kepada kajian yang dibuat, kementerian tersebut mencadangkan satu program bagi merawat kesan jangka panjang yang dialami bekas pesakit wabak tersebut.
“Kita cadangkan satu program rehabilitasi untuk pesakit Long COVID yang akan diketuai pakar perubatan rehabilitasi di hospital KKM.
“Memandangkan ada pelbagai gejala Long COVID, rehabilitasi untuk pesakit juga berbeza-beza mengikut pesakit, dan kita akan merangka program rehabilitasi untuk mereka,” katanya dalam sidang media KKM pada Jumaat.