Derita COVID-19: Fazli Zainal imbas tragedi hitam, akui ralat lewat divaksinasi

Harits Asyraf Hasnan
September 24, 2021 23:42 MYT
"Saya tak tahu yang kalau saya tak divaksin kesannya seteruk sekarang ini dan itulah perkara yang membuatkan saya ralat sekarang," luah Fazli. - Foto Instagram
KUALA LUMPUR: Derita yang ditempuh ketika diserang virus COVID-19 masih membelenggu hidup penyanyi, Fazli Zainal.
Menceritakan kembali kisah duka dua bulan lalu, pelantun lagu Harapan itu akui berasa ralat kerana tidak sempat mengambil vaksin COVID-19 selepas disahkan positif dua hari sebelum janji temu vaksinasi.
Mana tidaknya, virus maut itu menyebabkan 75 peratus paru-parunya rosak selain cepat berasa letih dan peti suaranya juga terjejas.
"Semasa pusat pemberian vaksin (PPV) maklumkan tidak perlu datang vaksin sebab saya ada gejala, saya rasa biasa sahaja masa itu sebab saya telah mendaftar dan menjalankan tanggungjawab saya, hanya tunggu masa divaksin.
"Cuma apabila tidak boleh divaksin sebab disahkan positif COVID-19, saya memang ada rasa agak ralat kerana kita tak tahu bila akan dapatkan suntikan pertama.
"Semasa kena COVID-19 itu, saya tak tahu yang kalau saya tak divaksin kesannya seteruk sekarang ini.
"Itulah perkara yang membuatkan saya ralat sekarang. Insya-Allah kalau saya divaksin, mungkin tak seteruk sekarang ini," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.
Derita COVID-19 | Fazli Zainal akui rasa ralat lewat divaksin
Berkongsi kisah proses pemulihan selepas 29 hari dimasukkan ke hospital, dia kini menjalani proses rehabilitasi secara kendiri dibantu rakan yang juga guru vokalnya, Cikgu Delly.
"Setiap hari saya diwajibkan untuk ambil oksigen natural, seperti jalan di kawasan yang banyak pokok atas nasihat arahan doktor.
"Saya kena buat latihan pernafasan, selain daripada latihan untuk menguatkan otot-otot, macam mana pantang orang bersalin 40 hari atau 100 hari, macam itu juga saya kena lalui," katanya.
Dia yang menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 14 September lalu, bersyukur ke masih dilanjutkan usia meneruskan kehidupan.
Pada masa sama, dia berharap agar lebih ramai penduduk di negara ini segera mendapatkan vaksin COVID-19 bagi memastikan diri terus dilindungi sekali gus mengurangkan kemudaratan jika dijangkiti virus itu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata hasil pemantauan terhadap pesakit yang alami Long COVID, pihaknya mendapati ada lima gejala yang kerap dilaporkan iaitu kelesuan, kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti tertentu, batuk, kesukaran tidur dan keresahan.
Justeru katanya, kerajaan sedang merangka program rehabilitasi khusus untuk merawat bekas pesakit COVID-19 yang mengalami kesan dan komplikasi jangka panjang wabak itu.
#COVID-19 #Fazli Zainal #long COVID #vaksin COVID-19
;