Deretan tiga kedai musnah 90 peratus dalam kebakaran
Afiezy Azaman
Mei 27, 2023 08:30 MYT
Mei 27, 2023 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Sederet tiga buah kedai musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.11 pagi.
Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, BBP Andalas dan BBP Kota Raja tiba di lokasi pada 7.26 pagi untuk proses pemadaman.
"Berdasarkan laporan awal, kebakaran melibatkan deretan tiga pintu kedai dengan anggaran kemusnahan 90 peratus.
"Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.30 pagi manakala kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan pihak bomba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PGO Selangor berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.