Deretan kedai musnah terbakar dekat R&R Jalan Sungkai
Aida Aziz
Mac 24, 2024 05:15 MYT
Mac 24, 2024 05:15 MYT
SUNGKAI: Deretan kedai musnah dalam kejadian kebakaran berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Jalan Sungkai, Kuala Bikam dekat jalan persekutuan, di sini, malam tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.22 malam.
Setelah itu, katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor dibantu Slim River bergegas ke lokasi.
"Jarak ke lokasi kejadian lebih kurang 16 kilometer dan jentera tiba sekitar jam 8.54 malam.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan kedai kelas B berukuran 60 kaki x 40 kaki.
"Kebakaran sebanyak 90 peratus daripada isi bangunan. Operasi pemadaman dilaksanakan," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Ujarnya lagi, seramai 16 anggota terbabit dalam operasi tersebut, dengan turut menggunakan jentera bomba.
Operasi itu diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II P.Siva.