Deretan kedai di pekan lama Sungai Petani terbakar lagi

Sinar Harian
Disember 25, 2023 17:53 MYT
Deretan unit kedai di Jalan Kuala Ketil, pekan lama Sungai Petani kembali terbakar pada Isnin.- Foto Sinar Harian
SUNGAI PETANI: Kebakaran dilaporkan berlaku semula di deretan unit kedai di Jalan Kuala Ketil, pekan lama Sungai Petani di sini, pada jam 1.23 tengah hari, Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mohd Zain berkata, kebakaran berlaku di unit sama yang terlibat dalam kebakaran tengah malam tadi.
Beliau berkata, kejadian terbaharu itu menyebabkan dua unit kedai terbakar kira-kira 50 peratus.
"Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada 1.23 petang.
"Sehubungan itu, sepasukan 15 pegawai dan anggota dari BBP Sungai Petani digerakkan bersama dua jentera, tangki air dan EMRS Sungai Petani ke lokasi kebakaran," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau memaklumkan, operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bakar Arang dan PBS Sungai Petani.
Beliau menambah, tindakan pemadaman dilakukan menggunakan aliran 61 meter serta tiga pancutan dari jentera bomba dan PBS.
"Kebakaran dapat dibendung dan tiada mangsa dilaporkan cedera setakat ini," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan deretan enam unit kedai di Jalan Kuala Ketil, Pekan Lama Sungai Petani di sini, terlibat dalam kebakaran tengah malam tadi.
Tiga unit kedai terbakar kira-kira 90 peratus, manakala tiga lagi terbakar kira-kira lima peratus.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#kebakaran #Sungai Petani #pekan lama Sungai Petani #Jalan Kuala Ketil
;