Deretan empat rumah hangus dalam kebakaran

Adie Sufian Zulkefli
November 22, 2023 10:40 MYT
Anggota bomba bertungkus-lumus cuba memadamkan api di salah satu rumah terlibat. - Foto JBPM
SUNGAI PETANI: Deretan empat buah rumah di Taman Sri Impian, di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu mengakibatkan keempat-empat buah rumah kelas A itu mengalami kemusnahan lebih 90 peratus, namun tiada kemalangan jiwa berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 2.49 pagi dan dua pasukan masing-masing satu dari BBP Aman Jaya dan Sungai Petani tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Beliau berkata, operasi turut dibantu enam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Bakar Arang, Gurun, Bedong, Semeling, Padang Lembu dan Bukit Selambau.
"Dalam kejadian itu, seorang lelaki berusia 30-an mengalami sesak nafas akibat terhidu asap dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk mendapatkan rawatan.
"Tindakan yang dilakukan anggota Bomba adalah melakukan pemadaman di bahagian hadapan dan dikawal oleh BBP Sungai Petani manakala pemadaman di belakang oleh anggota BBP Aman Jaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail berkata, pemadaman turut dibantu PBS di bahagian hadapan dan belakang untuk memastikan api tidak merebak.
Beliau berkata, kebakaran itu turut menyebabkan tiga buah motosikal milik penduduk musnah.
"Kerja-kerja overhaul sedang dijalankan bagi memastikan tiada lagi sisa api di lokasi.
"Setakat ini punca serta kerugian masih dalam siasatan " katanya.
#rumah terbakar #sesak nafas #PSB #HSAH
;