Deretan binaan papan tanda 'Sabah Maju Jaya' tak ubah kehidupan rakyat - Bung Moktar
Sinar Harian
April 5, 2024 09:50 MYT
April 5, 2024 09:50 MYT
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor perlu menyedari bahawa dengan membina deretan papan tanda 'Sabah Maju Jaya' tidak akan mengubah kehidupan rakyat di negeri ini.
Teguran itu dibuat oleh bekas Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahu Hajiji melihat rakyat kini berdepan dengan pelbagai masalah termasuk isu infrastruktur membabitkan bekalan air, elektrik dan jalan raya yang kritikal.
"Beliau secara mudah menafikan realiti sebenar masalah rakyat dengan berkata bahawa saya ini ketinggalan zaman dan hanya tahu berkhayal.
"Kalau saya ini dituduh sebagai ketinggalan zaman, mungkin Ketua Menteri pada penggal ini jauh terpisah dengan derita rakyat sehingga tidak cakna dengan apa yang berlaku di negeri ini.
"Adakah Hajiji tidak menyedari bahawa negeri ini sedang berhadapan dengan masalah krisis air yang kritikal sehingga penduduk negeri ini mengeluh tentang bekalan air yang sering terputus sehingga berhari-hari? Adakah rakyat juga ketinggalan zaman dan berkhayal," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bung yang juga Ketua UMNO Sabah turut berkata, adakah Hajiji juga tidak mengetahui gangguan bekalan elektrik di Sabah adalah yang tertinggi ketika ini.
"Gangguan bekalan elektrik kita adalah yang tertinggi di negara ini iaitu kira-kira 300 minit untuk setiap pengguna saban tahun?
"Adakah rakyat juga ketinggalan zaman sehingga tidak mengetahui data-data ini dan hanya pasrah dengan gangguan bekalan elektrik yang berterusan," katanya.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menegaskan, sebagai wakil rakyat sudah tentu beliau cuba berusaha untuk mengangkat suara rakyat di negeri ini.
"Sebelum ini, semasa saya menjadi Timbalan Ketua Menteri, saya telah mendesak kerajaan Persekutuan agar menjadikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sebagai sebuah Jabatan Teknikal Bertauliah.
"Ini penting agar kadar pembangunan di negeri ini dapat dipercepatkan tanpa merujuk kelulusan jabatan teknikal persekutuan yang mempunyai banyak birokrasi.
"Kita tidak mahu apabila bajet pembangunan berbilion ringgit diumumkan setiap tahun, peruntukan tersebut tidak dapat digunakan kerana kelembapan dari segi perancangan dan kelulusan jabatan. Jadi adakah saya ini ketinggalan zaman dan berkhayal dalam khayalan sendiri," tanyanya lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu berkata, banyak pengumuman telah dibuat oleh Hajiji mengenai pelaburan di negeri ini kononnya dapat mencipta puluhan ribu pekerjaan kepada rakyat dan memangkin pembangunan di negeri ini.
"Namun saya ingin bertanya, apakah kemajuan yang telah dicapai bagi projek-projek seperti Tanjung Aru Eco Development Project, Empangan Papar, KK Resort City, Lokawi Resort City dan lain-lain?
"Saya juga ingin bertanya, apa langkah proaktif yang telah dilaksanakan untuk mengurangkan kemiskinan, khususnya yang berkaitan dengan wajaran di dalam pengiraan indeks kemiskinan pelbagai dimensi yang terkait dengan indikator-indikator seperti akses rakyat kepada pendidikan, kesihatan, perumahan mampu milik, kemudahan asas yang berkualiti, dan peningkatan pendapatan rakyat," katanya.
Jelas Bung Moktar, indikator tersebut sangat penting untuk memastikan derita rakyat dapat dikurangkan dengan drastik dan secara sistematik mengurangkan peratusan kemiskinan di negeri ini. - Sinar Harian