Deretan 15 rumah kedai musnah dalam kebakaran
Adie Sufian Zulkefli
September 29, 2023 09:00 MYT
September 29, 2023 09:00 MYT
JITRA: Sebanyak 15 deretan rumah kedai di Kampung Sungai Korok, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.25 pagi dan sepasukan anggotanya seramai 10 orang dari BBP Jitra tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.
“Sebaik tiba api sedang marak dan kerja pemadaman dilakukan.
“Operasi pemadaman turut dibantu 60 anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ayer Hitam, Tunjang, Kilang Tebu, Simpang Empat, Padang Sera, Kundur, Kuala Kedah, Kampung Berjaya, Kota Sarang Semut, Mergong dan Kodiang.
"Api berjaya dikawal pada jam 3.20 pagi dan dan kerja-kerja overhaul sedang dilakukan ketika ini.
"Anggaran keseluruhan kawasan yang terbakar adalah 70 peratus," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mohd Bustan berkata, punca serta kerugian masih dalam siasatan.