Dera remaja OKU: Rumah kebajikan milik NGO dalam proses pendaftaran dengan JKM

Bernama
Julai 8, 2021 17:36 MYT
Pada 5 Julai lepas, tular di laman sosial Facebook seorang wanita mendedahkan dan mendakwa remaja berkenaan didera ketika berada di rumah penjagaan NGO terbabit. -
SEREMBAN: Rumah kebajikan milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kuala Lumpur yang didiami remaja perempuan sindrom Down yang dipercayai didera baru-baru ini didapati masih belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pihaknya dimaklumkan pengurusan rumah berkenaan telah membuat permohonan dan sedang dalam proses pendaftaran.
Bagaimanapun, katanya, kelulusan untuk menjadikan remaja orang kurang upaya (OKU) berusia 13 tahun itu sebagai anak angkat sebelum ini diberikan kepada individu, bukannya rumah kebajikan itu.
"Hak yang kita bagi bukan kepada NGO itu tetapi kepada individu, sekarang ini masih ada penghuni di situ dan pegawai JKM mengadakan pemantauan setiap hari dan menunggu perintah mahkamah dan hasil siasatan pihak polis," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Taman Sinar Harapan (TSH) Tuanku Ampuan Najihah di sini hari ini.
BACA: Anak istimewa sindrom Down melecur teruk pada badan disyaki didera di pusat asuhan
Menurutnya, mana-mana individu yang memohon untuk mengambil anak angkat di JKM perlu melepasi syarat ketat yang ditetapkan dan mereka yang benar-benar layak sahaja diberi hak penjagaan.
Rina berkata sekiranya pemilik rumah jagaan itu disabitkan bersalah atas kesalahan terbabit, penghuni di rumah kebajikan itu akan diserahkan kepada waris mereka jika ada atau ditempatkan di pusat jagaan JKM.
"Polis sekarang tengah kumpul bukti dan saya harap ia dapat diselesaikan dengan segera, sekiranya ada unsur penderaan, maka pelaku perlu diberikan hukuman setimpal supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata remaja perempuan itu kini diserahkan penjagaannya kepada TSH di bawah JKM dan dipantau dari aspek kesihatan dan emosi supaya kembali sihat seperti sedia kala.
"Remaja ini dulu memang berada di bawah JKM, kita lihat tahap kurang upayanya rendah dan dia boleh berdikari, jadi bila ada permohonan dan kita lihat ada individu yang memohon layak dan sesuai menjaganya, proses permohonannya dijalankan menerusi proses sepatutnya.
Namun, apabila tular kejadian itu, kita terus buat intervensi dan bawa ke TSH, dia masih ingat pengasuh sebelum ini, ia juga membantu untuk dia kembali pulih," katanya.
Sementara itu, beliau berkata untuk rekod, seramai 2,040 kanak-kanak di seluruh negara diselamatkan JKM termasuk daripada penderaan fizikal, seksual dan pengabaian dari Januari tahun ini sehingga April lepas.
Pada 5 Julai lepas, tular di laman sosial Facebook seorang wanita mendedahkan dan mendakwa remaja berkenaan didera ketika berada di rumah penjagaan NGO terbabit.
Menurutnya, perkara itu terbongkar apabila pemilik, petugas dan beberapa penghuni rumah kebajikan tersebut dijangkiti wabak COVID-19, termasuk remaja berkenaan yang kemudiannya dirawat di Hospital Kuala Lumpur selama 10 hari.
-- BERNAMA
#dera #remaja #OKU #OKU didera #kebajikan #rumah kebajikan #NGO #Rina Harun #Anak angkat
;