Dera: Polis sahkan terima laporan pada 2016

Bernama
Julai 11, 2018 09:40 MYT
Polis telah melengkapkan kertas siasatan terhadap laporan dua tahun lepas itu tetapi tiada pendakwaan dilakukan sebab kurang bukti. - Foto Bernama
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman mengesahkan pihaknya pernah menerima laporan penderaan melibatkan kanak-kanak berusia 10 tahun yang maut Isnin lalu, pada 2016.
Beliau berkata polis telah melengkapkan kertas siasatan terhadap laporan dua tahun lepas itu, namun difahamkan tiada pendakwaan dilakukan kerana kekurangan bukti.
Mengulas mengenai kejadian terbaharu mengakibatkan kematian mangsa yang merupakan pelajar tahun 4 Sekolah Chung Ching Tanah Putih di sini, Rosli berkata polis sedang melengkapkan siasatan.
"Kita telah mengambil keterangan saksi dan menggeledah kediaman suspek.
"Kami juga difahamkan adik mangsa yang berusia lapan tahun kini berada dalam jagaan neneknya di Klang, Selangor," katanya kepada pemberita pada sambutan Hari Raya 2018 di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang di sini, hari ini.
Media semalam, melaporkan kematian mangsa yang dipercayai akibat didera ibu kandungnya di kediaman mereka di Taman Permatang Badak Maju, Permatang Badak di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Othman Nayan berkata laporan bedah siasat dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mengesahkan kematian mangsa disebabkan salur darah pecah atau berlaku ulser pada esofagus.
Katanya, perkara itu berkemungkinan akibat stress atau 'force trauma', selain terdapat banyak kesan parut lama dan luka baharu di kepala serta seluruh anggota badan mangsa.
Polis memperoleh tempoh tahanan reman ke atas ibu bapa mangsa sehingga 16 Julai depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -- BERNAMA
#dera #Hospital #jenayah #Kanak-kanak #Kuantan #mangsa #maut #Pahang #penderaan