Dera isteri: Pegawai SPRM diburu polis

Astro Awani
Oktober 28, 2016 14:57 MYT
Menurut Wan Ahmad, polis memandang serius terhadap kejadian itu dan sedang berusaha untuk mengesan dan menangkap suspek tersebut. - Foto Bernama
Polis Johor mengesahkan ada menerima dua laporan berhubung satu muat naik dari laman sosial Facebook seorang wanita Melayu yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga seperti yang diviralkan.
Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kandungan Facebook itu mendakwa kononnya mangsa dipukul oleh suaminya serta pernah diugut dengan parang dan dipaksa melakukan perkara yang tidak sopan terhadap anaknya.
“Susulan dua laporan polis yang dibuat, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan mengikut seksyen 323 Kanun Keseksaan, seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga (dengan sengaja menyebabkan kecederaan) dan seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suspek didakwa seorang anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) namun dilaporkan telah tidak hadir ke pejabatnya di Segamat dan pernah mempunyai kes narkotik di Muar pada tahun 2015.
Menurut kenyataan itu lagi, polis memandang serius terhadap kejadian itu dan sedang berusaha untuk mengesan dan menangkap saspek tersebut.
#Dakwa dideara #diviralkan #ketua polis johor #SPRM #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #Wan Ahmad Najmuddin Mohd
;