Dera haiwan: Masyarakat semakin prihatin, aduan meningkat

Bernama
Julai 29, 2024 08:10 MYT
Dr Suratan berkata anjing ialah haiwan paling banyak menerima aduan dengan 5,226 kes dilaporkan diikuti kucing (1,900 kes) serta haiwan lain antaranya kuda, arnab dan burung. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Masyarakat kini semakin prihatin mengenai kes penderaan terhadap haiwan yang menyaksikan aduan berhubung kes itu meningkat.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dr Suratan Kamarudin berkata bilangan aduan meningkat dari 1,000 pada 2021 kepada lebih 2,000 pada tahun lepas.
Beliau berkata walaupun jumlah aduan meningkat tidak semestinya menunjukkan peningkatan kes sebenar tetapi mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap isu itu.
"Apabila kita melakukan siasatan walaupun terdapat banyak aduan, hanya sedikit sahaja kes yang betul-betul melibatkan pengabaian atau penderaan," katanya.
"Orang ramai boleh melaporkan kes penderaan atau pengabaian haiwan melalui platform digital MyAnimalWelfare dan aduan akan terus dihantar kepada pegawai di lapangan kami," katanya pada program "Apa Khabar Malaysia" yang disiarkan di Bernama TV hari ini.
Dr Suratan berkata anjing ialah haiwan paling banyak menerima aduan dengan 5,226 kes dilaporkan diikuti kucing (1,900 kes) serta haiwan lain antaranya kuda, arnab dan burung.
Beliau berkata kesalahan jenayah melibatkan tindakan menyebabkan kesakitan atau penderitaan kepada haiwan seperti memukul, menendang atau mengurung haiwan secara berlebihan, membunuh, meracun dan menggunakan haiwan untuk pertarungan boleh didakwa di bawah Seksyen 29 hingga 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015.
"Sementara itu, pengabaian didefinisikan sebagai kegagalan menyediakan aspek kebajikan asas kepada haiwan seperti menyediakan persekitaran yang sesuai, rawatan kesihatan dan makanan yang mencukupi. Kesalahan ini ditetapkan di bawah Seksyen 34 akta yang sama.
"Bagi kesalahan jenayah, pesalah boleh didenda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau dipenjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Untuk pengabaian pula, denda antara RM15,000 hingga RM75,000 dengan hukuman penjara yang sama," katanya.
-- BERNAMA
#dera haiwan #anjing #Veterinar #laporan