Dera dua beradik: Ibu, nenek dan rakan lelaki mengaku tidak bersalah
Astro Awani
Mei 31, 2022 15:35 MYT
Mei 31, 2022 15:35 MYT
GEORGE TOWN: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang atas pertuduhan mendera dua orang anaknya masing-masing berusia tiga dan lima tahun dalam kejadian Mei lepas.
Tertuduh Jenny Oon Wei Wei, 28 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Mazdi Abdul hamid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan penderaan dan penganiayaan kepada dua anaknya iaitu lelaki dan perempuan sehingga mengakibatkan kecederaan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukannya antara 13 hingga 27 Mei lalu di Blok J-13-8 Flat Rifle Range, Jalan Air Itam .
Bagi kesalahan itu, wanita yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes tersebut selesai dibicarakan.
Kes berkenaan akan disebut semula pada 6 Julai depan bagi serahan laporan perubatan dan dokumen.
Sementara itu di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang wanita dan seorang lelaki tidak mengaku tidak bersalah atas pertuduhan penderaan ke atas kedua-dua mangsa sama pada tarikh dan waktu yang sama.
Ng Hang Moon, 52, dan Lim Kim Boon, 42, penjaga kepada mangsa masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan di dalam bahasa Mandarin dibacakan jurubahasa mahkamah ke atas mereka di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Kedua-dua mereka turut didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Norsalha membenarkan kedua-dua tertuduh yang masing-masing bekerja sebagai tukang cuci dan pembantu jualan durian diikat jamin masing-masing RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi kes tersebut .
Mereka juga dikehendaki melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga perbicaraan kes selesai.
Mahkamah menetapkan 4 Julai depan sebagai tarikh serahan laporan perubatan dan dokumen serta sebutan semula kes.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan dua beradik di Air Itam,Pulau Pinang diselamatkan Polis selepas dipercayai menjadi mangsa dera ibu dan neneknya
Polis kemudian menahan dua wanita susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki tempatan mengenai satu hantaran di Facebook (FB) memaparkan foto dua kanak-kanak sedang makan di restoran dengan kesan kecederaan di muka.