Dera dua beradik: Bapa tiri ditahan polis

Bernama
April 28, 2022 21:54 MYT
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata suspek berusia 33 tahun itu ditahan pada 3.30 petang tadi di rumahnya di Jalan Sungai Petani. - Gambar fail/BERNAMA
ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki hari ini yang dipercayai bapa tiri kepada dua beradik perempuan yang cedera disyaki didera baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Ahmad Shukri Mat Akhir berkata suspek berusia 33 tahun itu ditahan pada 3.30 petang tadi di rumahnya di Jalan Sungai Petani, dekat sini.
"Hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif terhadap dadah jenis methamphetamine.
"Polis kini dalam proses untuk merakam percakapan ibu kepada dua beradik itu kerana wanita berusia 31 tahun itu dipercayai mengetahui apa yang berlaku terhadap anak-anaknya," katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, media melaporkan dua beradik perempuan masing-masing merupakan murid darjah tiga dan satu di sebuah sekolah rendah di sini cedera disyaki didera bapa tiri mereka.
BACA: Dua beradik perempuan cedera disyaki didera bapa tiri
Pegawai perubatan yang menjalankan pemeriksaan ke atas dua kanak-kanak berkenaan mengesahkan bahawa kecederaan yang dialami adalah akibat dipukul dan mereka kini ditempatkan di wad Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk pemantauan lanjut.
-- BERNAMA
#dera dua beradik #bapa tiri #ditahan polis #Polis Daerah Kota Setar #Jalan Sungai Petani
;