Dera bayi: Terengganu arah taska ditutup sementara

Astro Awani
Januari 19, 2023 08:15 MYT
Hanafiah meminta semua pemilik taska agar meneliti kamera litar tertutup setiap hari bagi memantau pekerja mereka melakukan tugasan. - Foto fail/BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengambil tindakan tegas dengan menutup sementara sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) yang terlibat dalam kes dera seorang bayi lelaki.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, taska berkenaan ditutup bermula 5 Januari lalu.
Katanya, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak akan berkrompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
"Selepas kejadian itu kita arahkan kepada tuan punya taska supaya tutup sementara. Kelmarin kita sudah hantar surat kepada Ketua Pengarah JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) Pusat supaya mengeluarkan surat amaran bagi penutupan sementara.
"Sehingga tamat perbicaraan, baru dia boleh buka semula. Selagi tak jatuh hukum, tak boleh buka," katanya.
Justeru itu Hanafiah meminta semua pemilik taska agar meneliti kamera litar tertutup (CCTV) setiap hari bagi memantau pekerja mereka melakukan tugasan dan tidak hanya mendengar laporan daripada pengasuh semata-mata.
Awal bulan ini, media melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan koma selepas dipercayai didera pengasuh dalam kejadian di sebuah taska di daerah Kuala Terengganu.
BACA: Bayi koma dipercayai didera pengasuh
Bayi malang itu mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tempurung kepala.
Susulan kejadian itu seorang pengasuh taska berkenaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Ahad atas tujuh pertuduhan mendera bayi berusia empat bulan sehingga koma.
BACA: Pengasuh taska mengaku tidak bersalah dera bayi hingga koma
#taska tutup sementara #pengasuh taska didakwa dera bayi #dera bayi sehingga koma #Hanafiah Mat
;