Dera bayi: Pengasuh direman tujuh hari

Sinar Harian
Februari 8, 2024 16:12 MYT
Seorang pengasuh di pusat jagaan kanak-kanak dekat Nilai direman tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes penderaan bayi berusia 11 bulan ketika dalam jagaannya. -Gambar hiasan
SEREMBAN: Seorang pengasuh di pusat jagaan kanak-kanak dekat Nilai direman tujuh hari bermula Khamis bagi membantu siasatan kes penderaan bayi berusia 11 bulan ketika dalam jagaannya.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, permohonan reman terhadap suspek berusia 66 tahun itu dibuat di Mahkamah Majistret Seremban pagi Khamis.
"Mahkamah membenarkan reman sehingga 14 Februari bagi melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Malik berkata, siasatan mendapati pusat asuhan itu beroperasi kira-kira 20 tahun dan mendapat kelulusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan.
"Semakan juga mendapati pengasuh terbabit tidak mempunyai rekod jenayah dan tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis menahan pengasuh wanita warga emas disyaki mendera bayi perempuan berusia 11 bulan ketika dalam jagaannya pada 5 Februari lalu. -Sinar Harian
#pengasuh direman #pusat jagaan kanak-kanak #penderaan bayi #bayi berusia 11 bulan
;