Depot Tahanan Imigresen Bidor ditutup sementara untuk siasatan menyeluruh

Abd Razak Mohd Ali
Februari 2, 2024 06:15 MYT
penutupan sementara Depot Tahanan Imigresen Bidor adalah bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan ekoran insiden rusuhan yang menyebabkan 131 warga Myanmar melarikan diri pada Khamis malam. - Gambar Bernama
TAPAH: Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh menjelaskan, penutupan sementara Depot Tahanan Imigresen Bidor adalah bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan ekoran insiden rusuhan yang menyebabkan 131 warga Myanmar melarikan diri pada Khamis malam.
Menurut beliau, siasatan akan dilakukan pelbagai agensi khususnya Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti punca sebenar insiden rusuhan.
“Siasatan juga bertujuan untuk mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.
“Apabila selesai siasatan, kita angkat syor cadangan penambahbaikan ke Kementerian Dalam Negeri.
“Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi apakah hala tuju kita, sama ada kita nak tambah baik fasiliti ataupun tindakan-tindakan lain, itu bergantung keputusan yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri,” jelas Ruslin.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Depot Tahanan Imigresen Bidor, di sini, malam tadi.
Katanya, kesemua 435 tahanan telah mula dipindahkan ke beberapa depoh tahanan malam ini dan kumpulan terakhir ialah 100 tahanan wanita yang akan dihantar ke Depoh Tahanan di Bukit Jalil.
Terdahulu, seramai 131 lelaki warga negara Myanmar melarikan dari daripada Depot Imigresen Sementara Bidor, dekat Tapah, pada Khamis malam.
Seorang daripada tahanan itu meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 335 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara.
#Depot Tahanan Imigresen Bidor #rusuhan #warga myanmar #Ruslin Jusoh
;