Deposit RM1 juta bagi MM2H untuk jamin keselamatan negara - Hamzah
Ridauddin Daud
September 14, 2021 11:53 MYT
September 14, 2021 11:53 MYT
KUALA LUMPUR: Deposit tetap minimum berjumlah RM150,000 untuk program Malaysia My Second Home (MM2H) dilihat tidak lagi bersesuaian pada masa sekarang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah itu ditetapkan pada 2002 dan kini kerajaan berpendapat deposit RM1 juta lebih sesuai.
Menurut beliau, penambahbaikan itu juga bertujuan untuk menjamin keselamatan negara kerana ada yang menggunakan MM2H sebagai transit dan melakukan perkara tidak diingini.
“Sebab itu fokus diberikan pada keselamatan manakalah program MM2H untuk bantu negara, biarlah mereka yang berkualiti. Apa salahnya kalau bawa orang yang berkualiti, yang kita nak hanya RM150,000 yang layak duduk untuk 10 ke 15 tahun di negara kita pasal apa?
“Sepatutnya kita fikir yang nak duduk dalam negara semua yang berkualiti, sekurang-kurangnya ada RM1 juta, itu lebih baik.
“Cuma perubahan ini perlu dilakukan sebab program ini dimulakan pada 2002. Sebab itu kriteria dulu hanya RM150,000. Ketika itu memang sesuai tapi sekarang tak sesuai lagi. Sebab itu kerajaan putuskan untuk bawa yang berkualiti saja,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH - Balik Pulau) yang bertanya adakah kementerian tidak mengkaji impak akibat keputusan tersebut kepada negara.
Selepas selesai Hamzah menjawab, Khalid Samad (PH - Shah Alam) mencelah dan menegaskan jawapan diberikan menteri kurang memuaskan.
“Boleh saya komen jawapan menteri, sikit saja...sikit saja.
“Jawapan menteri memberikan gambaran orang yang letakkan RM1 juta, kalau ada masalah keselamatan pun tidak mengapa kerana memenuhi syarat RM1 juta, pengedar dadah, penjenayah.
“Dia letak RM1 juta, okey, no problem sebab dia berkualiti. Kalau masalah keselamatan dalam negara adalah masalahnya, maka jangan kita kaitkan jumlah berapa banyak yang dia deposit. Kalau dia letak RM150,000, timbul masalah, kita ambil tindakan atas keselamatan negara.
“Kalau dia letak RM1 juta pun, kita ambil tindakan keselamatan negara. Jadi jawapan menteri kurang memuaskan,” ujarnya.
Hamzah kemudian membalas kenyataan Khalid bahkan sempat menyindir Ahli Parlimen Shah Alam itu.
“Saya nak jelaskan sebab ada beberapa kriteria. Saya menjawab apa yang dibangkitkan Balik Pulau tentang RM150,000. Sebab itu saya cakap melalui secara umumnya, kita nak lihat keselamatan sebagai satu kriteria.
“Apa yang menjadi masalah kepada Shah Alam adalah melihat kepada satu perkara yang dibangkitkan. Kriteria sebenarnya banyak, bukan itu sahaja.
“Jadi, jangan nak komen kalau tak tahu,” tegas Hamzah.
“Maaflah menteri…” jawab Khalid Samad sebelum mikrofonnya dimatikan.