Dentuman tanah runtuh disangka kerja pembinaan
Bernama
Februari 3, 2024 20:59 MYT
Februari 3, 2024 20:59 MYT
KUALA LUMPUR: Penghuni rumah yang terkesan dengan kejadian tanah runtuh di Jalan Taman Pantai, Taman Bukit Pantai, Bangsar di sini pagi tadi, menyangkakan bunyi dentuman kuat dan gegaran yang dirasainya adalah daripada kerja-kerja pembinaan di rumah berdekatan.
Norlie Ismail, 42, berkata dia mendengar dan merasai dentuman berserta gegaran itu beberapa kali ketika sedang tidur dalam bilik kira-kira 10 pagi tadi.
"Pada mulanya, saya dengar bunyi dentuman kuat sebanyak dua kali tetapi saya tidak terus bangun kerana menyangkakan itu adalah kerja-kerja pembinaan di rumah lereng atas.
"Namun, dentuman kali ketiga amat kuat hingga rumah bergegar menyebabkan saya terus bangun dan mengambil telefon bimbit sebelum berlari keluar rumah," katanya ketika dihubungi.
Norlie berkata pihak bomba tiba kira-kira lima minit selepas panggilan kecemasan dibuat.
"Saya dalam keadaan panik dan takut ketika itu kerana melihat terdapat tanah dan air masuk ke bahagian dapur serta stor menyebabkan semua barang di bahagian itu rosak termasuk barangan elektrik.
"Saya kemudiannya mengambil dokumen penting serta tujuh kucing yang berada dalam bilik untuk dibawa keluar dengan diiringi anggota bomba dan membuat laporan berhubung kejadian ini di Balai Polis Bangsar," katanya.
Norie yang menyewa rumah memiliki 10 bilik itu, berkata dia menghuni rumah itu seorang diri selepas beberapa penghuni lain berpindah keluar sejak beberapa bulan lepas.
"Sudah empat tahun saya menyewa rumah ini dan bercadang untuk berpindah pada bulan hadapan, tetapi selepas kejadian ini saya meminta tuan rumah baharu untuk masuk lebih awal kerana dimaklumkan rumah ini tidak selamat didiami," katanya.
Menurutnya buat masa ini dia tinggal di rumah seorang rakan, manakala tujuh ekor kucing miliknya itu ditempatkan sementara di hotel kucing.
"Saya akan mengambil barang lain yang masih berada di rumah itu esok," katanya.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan sebuah rumah terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Taman Pantai, Taman Bukit Pantai, Bangsar di sini pagi tadi.
-- BERNAMA