Dentuman kuat, gegaran gemparkan penduduk Kota Belud

Ruzaini Zulkepli
Ogos 20, 2018 02:10 MYT
Satu dentuman kuat disusuli gegaran kira-kira lima saat dipercayai berlaku di kawasan Kota Belud yang turut dirasai di sekitar Tuaran dan Kota Kinabalu, malam tadi. -Gambar hiasan
Satu dentuman kuat disusuli gegaran menggemparkan penduduk di kawasan Kota Belud lewat malam tadi.
Gegaran kira-kira lima saat itu turut dirasai di sekitar Tuaran dan Kota Kinabalu.
Insiden yang berlaku sekitar jam 11.35 malam itu turut mendapat reaksi orang ramai dan penduduk setempat sehingga menimbulkan pelbagai andaian.
Jurucakap Jabatan Meteorologi Negeri Sabah ketika dihubungi berkata tiada sebarang kejadian gempa bumi direkodkan setakat ini dan pihaknya masih cuba mengenal pasti punca gegaran tersebut.
"Tiada sebarang maklumat mengenai gegaran itu dan kita mengesahkan tidak ada kejadian gempa bumi," katanya.
Terdahulu, insiden dentuman yang disusuli gegaran itu menimbulkan pelbagai spekulasi orang ramai terutamanya pengguna laman media sosial sehingga mencetuskan khabar angin tentang meteor yang didakwa jatuh ke bumi serta kerja penyelenggaran minyak di sebuah terminal gas.
Selain itu, tidak kurang juga mengandaikan kejadian itu berkait rapat dengan latihan ketenteraan berikutan terdapat kapal perang luar negara sedang berlabuh di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sepanggar di Kota Kinabalu sejak Isnin lalu.
#gegaran #gempa bumi #Kota Belud #Kota Kinabalu #meteor #TLDM
;