Dentuman kuat di Sabah: 'Meteor jatuh ke?' - Netizen
Kohilah Sekaran
Ogos 21, 2018 16:54 MYT
Ogos 21, 2018 16:54 MYT
Sabah digemparkan dengan satu dentuman kuat yang disusuli gegaran selama lima saat, lewat malam tadi.
Kejadian itu dilapor berlaku di sekitar Tuaran dan Kota Kinabalu.
Susulan itu, pengguna media sosial yang terkejut mula berkongsi gambar dan video kejadian di media sosial.
Insiden itu kemudian menimbulkan pelbagai spekulasi, dengan banyak pihak menyangka kemunculan cahaya terang yang meluncur di langitnya malam semalam sebagai meteor atau tahi bintang.
"Bunyi kuat yang meletus sekitar jam 11 malam tadi di sekitar pantai barat Sabah dikatakan bunyi meteor," tweet seorang netizen @nberharyanal.
Selain itu, ada juga mengaitkan kejadian tersebut dengan latihan tentera di Kem Paradise, Kota Belud.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Meteorologi Sabah berkata, pihaknya masih menyiasat punca gegaran tersebut namun mengesahkan tiada gempa bumi yang berlaku malam tadi.