Dentuman bunga api ubati kerinduan penduduk Terengganu terhadap kemeriahan Ramadan

Bernama
April 29, 2020 12:00 MYT
Percikan bunga api setinggi 350 meter itu boleh dilihat hingga tujuh kilometer radius manakala bunyi dentuman bunga api pula boleh didengari hingga 15 kilometer radius. - BERNAMA
Dari puncak Bukit Panorama di sini, Shafuan Shafie lazimnya dapat melihat ribuan penduduk Terengganu 'berkelah' di beberapa kawasan lapang sekitar pesisir pantai sementara menunggu bunyi dentuman bunga api yang menandakan masuknya waktu berbuka puasa pada bulan Ramadan.
Namun pemandangan indah itu hanya tinggal kenangan dan ia tidak lagi kelihatan pada Ramadan kali ini berikutan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang mewajibkan rakyat Malaysia kekal berada di rumah.
Penyelia piroteknik di syarikat swasta yang berusia 34 tahun itu mengakui perasannya tersentuh apabila melihat kawasan lapang seperti Dataran Syahbandar, kawasan lapang berhampiran jambatan angkat dan Dataran Batu Buruk kini sepi dan tidak lagi meriah seperti mana kelaziman sebelum ini.
"Saya ada juga terbaca di media sosial seperti Facebook dan WhatsApp mengenai luahan orang ramai bahawa mereka rindukan suasana itu untuk berbuka puasa beramai-ramai di kawasan lapang, dapat melihat percikan bunga api dari kejauhan dan pastinya dentuman bunga api yang sangat ditunggu-tunggu sebagai tanda masuk waktu Maghrib.
Namun, apa boleh kita buat. PKP penting untuk keselamatan semua... walaupun tidak nampak lautan manusia di bawah sana, saya tahu masih ramai yang menantikan bunyi dentuman bunga api ini di rumah masing-masing... sekurang-kurangnya terubatlah rasa rindu itu," katanya kepada Bernama.
Bunyi dentuman bunga api yang dilancarkan pada ketinggian kira-kira 600 meter dari aras laut itu adalah tradisi di Terengganu setiap kali Ramadan iaitu sekali dentuman untuk waktu berbuka puasa dan dua kali dentuman untuk waktu imsak.
Percikan bunga api setinggi 350 meter itu boleh dilihat hingga tujuh kilometer radius manakala bunyi dentuman bunga api pula boleh didengari hingga 15 kilometer radius.
Shafuan berkata majikannya Red Flame Special Effects Sdn Bhd yang berpangkalan di Kuala Lumpur mempunyai pengalaman selama 14 tahun dalam menggalas tanggungjawab untuk melancarkan bunga api di Bukit Pak Apil.
"Saya akan berada di puncak bukit pada 6.45 petang dan 4.30 pagi setiap hari untuk meletupkan bedil (bunga api) sepanjang Ramadan dan sehingga 7 Syawal depan untuk memudahkan mereka yang melakukan puasa sunat enam berbuka dan bersahur.
"Saya berharap agar ini adalah Ramadan terakhir yang sunyi dan sepi... semoga wabak ini segera berakhir agar kita dapat menikmati semula suasana Ramadan yang indah seperti sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA
#berkelah #buka puasa #Bukit Panorama #bunga api #COVID-19 #Dataran Syahbandar #dentuman #imsak #keselamatan #Pantai #PKP #puncak bukit #Ramadan #Red Flame Special Effects #terengganu #waktu berbuka puasa
;