Dengusan kuat kejutkan wanita, rupanya ular tedung ‘tumpang tidur' bawah katil
Adie Sufian Zulkefli
Februari 10, 2024 19:00 MYT
Februari 10, 2024 19:00 MYT
PADANG TERAP: Seorang wanita nyaris menjadi mangsa dipatuk ular tedung selar selepas terjaga dari tidur sebaik terdengar dengusan kuat dari arah bawah katil di rumahnya di Kampung Padang Setol, Pedu, di sini pada Sabtu.
Tersentak dengan kehadiran reptilia berbisa itu, wanita terbabit bertindak menghubungi suaminya yang sedang berkerja di luar.
Suaminya kemudiannya terus menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang untuk meminta bantuan menangkap ular terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aminudin Mad Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan pda jam 2 pagi dan sepasukan anggota bersama sebuah jentera di hantar ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukannya mendapati seekor tedung selar menyorok di bawah katil dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.
“Ular sepanjang 3.5 meter itu bertindak agresif ketika operasi menangkap dengan cuba menyerang anggota, namun dengan kemahiran dan pengalaman yang ada, anggota kami dapat menangkap ular itu menggunakan peralatan khas," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Mohd Aminudin berkata, ular tedung selar itu adalah yang terbesar ditangkap setakat ini dan telah dibawa balik ke balai bomba untuk tindakan selanjutnya.
Beliau menasihati orang ramai agar berhati-hati kerana haiwan itu biasanya akan keluar mencari tempat perlindungan dan masuk ke rumah penduduk untuk berlindung berikutan cuaca panas ketika ini.
"Antara tempat-tempat yang biasanya ditemui adalah di bawah katil, atas alang rumah, bawah kusyen, dalam bilik air dan di tempat sejuk," ujar beliau lagi.