Denggi: Dua kematian, 2,461 kes pada Minggu Epidemiologi ke-20
Bernama
Mei 28, 2024 12:15 MYT
Mei 28, 2024 12:15 MYT
PUTRAJAYA: Sebanyak 2,461 kes demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-20 (ME20) bagi tempoh 12 hingga 18 Mei lepas, peningkatan 123 kes baharu berbanding 2,338 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata dua kematian akibat komplikasi demam denggi turut direkodkan dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME20 ialah 59,681 kes berbanding 43,619 kes bagi tempoh sama pada 2023, manakala 42 kematian akibat komplikasi demam denggi direkodkan berbanding 28 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.
"Bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME20 adalah 59 lokaliti berbanding 60 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
"Daripada jumlah itu, 44 lokaliti adalah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (empat), Sarawak (empat), Kedah (tiga), Perak (dua) dan masing-masing satu lokaliti di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi survelan chikungunya, satu kes direkodkan pada ME20, menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini ialah 25 kes dengan tiada wabak berkenaan dilaporkan.
Manakala bagi survelan zika, Dr Muhammad Radzi berkata 1,021 sampel darah dan enam sampel urin telah dijalankan dengan hasil kesemuanya adalah negatif.
-- BERNAMA