'Dengar tapi tak beri peluang?' - Anak muda rayu kerajaan ambil serius pandangan demi masa depan
Faida Rahim
Jun 16, 2023 16:50 MYT
Jun 16, 2023 16:50 MYT
KUALA LUMPUR: Golongan belia merayu kerajaan terus mendengar suara dan pendapat mereka dalam usaha negara memacu ke arah pembangunan, sejajar dengan agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).
Ini kerana suara anak muda juga penting dalam pembangunan negara demi memacu kemajuan di masa hadapan dan mengelakkan negara daripada ketinggalan dalam arus kemodenan.
Astro AWANI mendapatkan pandangan belia mengenai perubahan diperlukan untuk menjayakan agenda mengangkat suara anak muda, di Sidang Kemuncak Mobilisasi Belia Asia Pasifik 2023 di Petaling Jaya pada Jumaat.
Menurut Fara Hana Mohd Hadzuan, dia amat berharap kerajaan mengambil serius pandangan anak muda dan bukan sekadar 'mendengar' sedangkan tiada apa-apa pelaksanaan dijalankan.
“Kita tak tahu... contohnya program yang kita jalankan, apa yang kita brainstorm (cadangan) betul-betul dijalankan atau tidak.
“Adakah peluang yang diberikan ini boleh menjadi realiti atau sekadar berada di lapisan paling bawah. Kadang mereka sekadar dengar tapi tak beri peluang. It's a shame sebab dunia kita perlukan idea baharu daripada anak muda, kita tak boleh berada di takuk yang lama.
“Bagi saya suara remaja bukan saja harus didengar tapi harus digerakkan. Baru kita boleh nampak perubahan itu,” katanya.
Manushri Gopikandan yang juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpendapat anak muda perlu digalakkan untuk bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.
“Untuk membina dunia lebih gemilang, anak muda digalakkan terlibat dalam organisasi contohnya Persatuan Pandu Puteri, Pengakap, Young Men’s Christian Association (YMCA) dan banyak lagi.
“Para pemimpin pula, mereka juga kena ambil tanggungjawab, kena beri lebih banyak peluang kepada pelapis masa depan negara.
"Contohnya kalau mereka nak jadi lawyer, kena beri peluang boleh tengok masuk mahkamah, kalau nak jadi doktor, boleh ada lawatan ke hospital. Sebab sebagai pelapis masa depan, mereka perlukan experience itu,” katanya.
Jeshvini Segar, pula berpendapat pemikiran agresif anak muda seharusnya diterima jika membawa manfaat kepada negara.
“Dalam masa sama, sebagai seorang remaja, saya rasa penting untuk kita terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Tak perlu yang besar, kita mula secara kecil-kecilan di sekolah, contohnya memberi sumbangan duit atau bantuan fizikal,” katanya.
Sementara itu Potter Ka Kai Fong memaklumkan pemimpin perlu terus memberikan ruang supaya belia dapat bersuara dengan lebih berkesan.
“Apa yang penting adalah memastikan setiap cadangan dikemukakan ada tujuan. Untuk para pemimpin pula, penting untuk mereka menyediakan mentor serta mengangkat idea anak muda menjadi sebuah realiti,” katanya yang merupakan seorang sukarelawan aktiviti kemasyarakatan.