Dengar 'suara' belia, iktiraf mereka sebagai penyambung legasi
Bernama
Mei 14, 2024 04:00 MYT
Mei 14, 2024 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Suara belia tidak harus dipandang enteng malah penglibatan golongan ini perlu diperluas terutama dalam isu kemasyarakatan dan politik sesuai peranan mereka yang 'sering' digelar pemimpin masa hadapan.
Tokoh Belia Negara 2011 dan Tokoh Belia Asean 2011 Mohammad Rizan Hassan berkata tenaga, semangat dan idealisme golongan muda mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi kepada perubahan, menyatukan masyarakat dan membina rasa kekitaan bersama dalam sesebuah negara.
"Dengan meminjamkan suara mereka (belia) untuk tujuan yang selaras dengan nilai dan aspirasi negara, belia membantu membentuk naratif sesebuah negara dan mengukuhkan identiti budaya dan sejarahnya.
"Melalui tindakan serta advokasi mereka, warga muda boleh memberi inspirasi kepada orang lain untuk berbangga dengan negara mereka, mengekalkan tradisinya dan berusaha ke arah visi bersama tentang kemajuan serta kemakmuran," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan pada 2020, jumlah belia di Malaysia dianggarkan merangkumi 44.2 peratus atau kira-kira 14.9 juta daripada jumlah penduduk Malaysia.
Golongan itu diraikan dengan Hari Belia Negara setiap 15 Mei dengan sambutan peringkat kebangsaan tahun ini bakal diadakan di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka pada 24 hingga 26 Mei ini dengan perasmian dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Mei.
Tema "Yakin Boleh" dipilih tahun ini bagi meraikan tanggungjawab penyambung legasi itu dalam menyemarakkan perasaan cintakan negara, memupuk penyatuan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid mahu generasi muda lebih proaktif, dengan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang dilihat dapat menyumbang kepada pembinaan jati diri dan penerapan kemahiran insani mereka.
"Mereka harus mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti berpersatuan untuk meluaskan 'horizon' mereka... ini dapat memberikan peluang dan akses kepada pendidikan serta pengalaman yang lebih baik.
"Belia masa kini perlu membina keyakinan dan sentiasa mempersiapkan diri mereka bagi berdepan pelbagai cabaran," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Darah Muda terbitan Bernama TV pada Isnin.
Beliau berkata pemilihan tema itu adalah kesinambungan slogan bagi program Rakan Muda, inisiatif di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang mula dijalankan sejak 1994.
Antara program dirancang sepanjang sambutan di Melaka nanti termasuk Malam Solidariti Palestin, Larian Yakin Boleh Belia Malaysia 2024, Himpunan Komuniti Belia, perkhemahan belia, Pavilion Seni Budaya negeri, karnival kerjaya, jualan dan pameran agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan.
Sambutan ini turut diserikan dengan penganjuran Kembara RIUH @ HBN 2024, diadakan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi yang diselaraskan MyCreative Ventures Sdn Bhd.
-- BERNAMA