'Dengar jeritan suruh kami selamatkan diri' - Ibu saudara wanita maut dipijak gajah liar

Norfarhiza Mohd Atar
Disember 6, 2022 18:37 MYT
Rumah mangsa turut mengalami kerosakan akibat kejadian serangan gajah awal pagi tadi. - Gambar/ Astro AWANI
LIPIS: "Saya terkejut dengar jeritan dari rumah Wak Angkat sebelum melihat sekumpulan gajah liar berada berdekatan rumah berkenaan".
Demikian kata Norfini Ajik, 50, yang merupakan ibu yang berjiran dengan Wak Angkat Yok Tong, 39, wanita Orang Asli yang maut dalam serangan gajah liar di Kampung Simoi Baru, Pos Betau di sini awal pagi tadi.
Norfini berkata, sebelum kejadian malang itu berlaku, dia berbual bersama keluarganya sebelum masuk tidur pada jam 3.30 pagi.
"Tiba-tiba pada jam 4 pagi saya dikejutkan dengan bunyi jeritan dan mendengar ahli keluarga Wak Angkat menyuruh kami lari menyelamatkan diri dalam keadaan yang masih gelap.
"Saya sekeluarga pun keluar untuk menyelamatkan diri dan lari ke kawasan yang agak jauh dari tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Lipis di sini hari ini.
Norfini berkata, apabila keadaan reda dan kawanan gajah liar meninggalkan kawasan itu, mereka berkumpul berdekatan rumah mangsa dan mendapati anak saudaranya, Wak Angkat tiada bersama mereka.
Katanya, dengan pertolongan jiran sekampung, mereka mencari Wak Angkat dan terkejut melihat keadaan mangsa yang cedera parah dan sudah tidak bernyawa lagi di kebun pisang berdekatan rumah itu.
"Wak Angkat mempunyai tiga orang anak lelaki dan empat perempuan tinggal di situ turut ditemani oleh adik iparnya ketika kejadian tersebut.
"Saya berasa amat sedih dengan kehilangan anak saudara yang sangat baik hati dan suka membantu ketika susah dan senang," ujarnya.
Jelasnya lagi, kejadian pencerobohan gajah liar ke kampung tersebut pernah berlaku beberapa kali, tetapi tidak sampai mengancam nyawa seperti kejadian awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi tadi seorang wanita Orang Asli maut akibat dipijak kawanan gajah liar.
#serangan gajah #Orang Asli #wanita maut #dipijak gajah
;