Dengan situasi sekarang, kami tak boleh pulun lebih - Zunita

Hilal Azmi
April 19, 2018 06:22 MYT
Zunita berharap sesuatu dilakukan pemimpin yang bakal dipilih bagi meransang semula ekonomi setempat terutamanya membabitkan penduduk di luar bandar. - Astro AWANI / HILAL AZMI
Pekan Napoh mungkin agak asing bagi kebanyakan anak muda terutamanya yang memang dibesarkan dari kawasan bandar.
Ada yang menganggap pekan ini agak hulu sifatnya memandangkan jarang kita dapat dengar cerita tentang penduduk di sini.
Pekan ini terletak betul-betul di sebelah penghujung Lebuh Raya Utara - Selatan berdekatan dengan Pekan Changlun, penduduknya terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, kaum dan menjalankan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian serta sebahagian kecil di bidang perkilangan.
Mercu tanda penting bagi Pekan Napoh kini ialah RTC Napoh yang mula siap sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Akan tetapi, di sini lahir sebuah perniagaan yang telah berjaya mewujudkan peluang perniagaan kepada lebih 5,000 anak muda di seluruh negara.
Perniagaan Oblong Otai mula membuka kilangnya di Napoh sekitar 10 tahun lalu, dan kesemua pekerjanya terdiri daripada penduduk tempatan.
“Kita buka peluang kerja kepada penduduk tempatan kerana ia senang malah ia juga mampu untuk meransang ekonomi tempatan,” kata pengasas Oblong Otai, Zunita Nordin.
Katanya lagi, pembukaan kilang tersebut bukan sahaja berjaya membantu lebih ramai anak muda untuk membuka perniagaan, tetapi secara tidak langsung telah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di seluruh negara.
“Setakat ini kami ada lebih 5,000 peniaga oblong yang menggunakan produk kami di seluruh negara.
“Kami bangga dapat bantu ramai anak muda memulakan perniagaan mereka memandangkan situasi ekonomi yang tidak mesra untuk kerja makan gaji,” katanya lagi.
Namun, bagi Zunita perniagaannya terpaksa mengharungi cabaran selepas pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada pengguna bermula April 2015.
“Sebelum GST diperkenalkan, jualan kami pernah mencecah sehingga RM1.2 juta sebulan.
“Tapi, lepas ia diperkenalkan, orang ramai lebih berhati-hati untuk berbelanja menyebabkan catatan jualan kami merosot sehingga lebih 50 peratus.
“Jadi, dengan situasi sekarang, kami tak boleh pulun lebih, hanya buat bagi cukup makan sudah la.
“Apa yang penting, kami kekalkan jumlah pekerja sebab mereka pun cari rezeki melalui kilang kami,” jelasnya lagi.
Justeru itu, Zunita berharap sesuatu dilakukan pemimpin yang bakal dipilih bagi meransang semula ekonomi setempat terutamanya membabitkan penduduk di luar bandar.
Ini kerana rata-rata penduduk di luar bandar kini mula tertekan dengan tekanan kos sara hidup yang kian bertambah ketika penurunan harga komoditi pertanian seperti getah.
#IniKisahKita #MalaysiaMemilih #Napoh #Pekan Napoh #pengasas Oblong Otaii #PRU14 #RTC Napoh #Zunita Nordin
;