Dengan 'Pulse', kini anda boleh dapatkan rundingan kesihatan tanpa keluar rumah
Hasimi Muhamad
Mei 4, 2019 10:00 MYT
Mei 4, 2019 10:00 MYT
Percaya atau tidak dengan hanya RM1, anda mampu mendapatkan perundingan kesihatan daripada pakar-pakar perubatan bertaraf antarabangsa.
Bukan itu sahaja, pemeriksaan simptom, penilaian kesihatan, dan amaran denggi - semuanya kini hanya di hujung jari dan boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja anda berada.
Itu yang ditawarkan oleh aplikasi telekesihatan pertama di Malaysia dikenali sebagai Pulse, yang dilancarkan oleh syarikat insurans terkemuka, Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB).
Dengan tagline "No one knows you like your Pulse" - ia merupakan platform kesihatan mudah alih semua dalam satu (All-in-one) dengan perintis kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) yang mampu mengawal kesejahteraan dan kesihatan pengguna.
Menurut Ketua Eksekutif Prudential Corporation Asia (PCA), Nic Nicandrou, perkhidmatan tersebut cukup istimewa kerana Pulse mampu membantu pengguna mencegah, menangguh dan melindungi daripada serangan penyakit.
"Ia (Pulse) adalah aplikasi semua dalam satu di mana ianya sangat berbeza dengan perintis kecerdasan buatan yang lain di mana ia membenarkan seseorang individu untuk memilih tetapan secara peribadi mengikut maklumat individu tersebut.
"Ia (bukan sahaja) meliputi ciri peribadi tetapi juga maklumat lain termasuk statistik kerana ianya merupakan aplikasi yang sangat berskala. Kebanyakkan aplikasi lain tidak meliputi ciri yang ada pada aplikasi Pulse, dan ini menjadikan ia aplikasi yang unik," katanya kepada Astro AWANI selepas majlis pratonton aplikasi tersebut di ibu negara, pada Jumaat.
Selain memilih Malaysia sebagai negara pertama sebelum ia dilancarkan di 10 pasaran Asia, menarik juga mengenai "Pulse adalah ia boleh dimuat turun secara percuma.
Dengan kombinasi kesihatan dan teknologi, Nic menambah; "Pulse adalah platform yang inklusif di mana kami terus menambah ciri-ciri baharu, rakan kongsi, peralatan dan nilai tambah perkhidmatan secara berperingkat bagi mencapai matlamat kami membantu jutaan penduduk Asia menguruskan kesihatan dan kesejahteraan mereka."
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PAMB, Gan Leong Hin berkata, kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan, selain kejayaan Prudential dalam menyediakan pelindungan kesihatan selama 95 tahun di Malaysia telah mendorong syarikat insurans itu melancarkan Pulse di negara ini.
Menerusi aplikasi tersebut, jelas beliau, pihaknya komited menyahut saranan kerajaan dalam memastikan rakyat Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan terbaik dalam kehidupan mereka.
"Dengan inflasi kesihatan yang sedang meningkat, kami meningkatkan fokus menerusi kerajaan dengan menguruskan kos dan menjadikan penjagaan kesihatan lebih berpatutan dan mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia.
"Kami sangat komited dalam membantu usaha kerajaan dan berbesar hati untuk menyampaikan tawaran inovasi dengan menyediakan maklumat kesihatan kecerdasan buatan kepada semua rakyat Malaysia pada bila-bila masa dan di mana sahaja, selain menjadikan ia pelindungan yang selamat dan sejahtera," katanya.
Aplikasi kesihatan Pulse disediakan dalam dua tetapan iaitu Bahasa Malaysia dan Inggeris, yang mana ini secara tidak langsung memudahkan ia diakses oleh semua pengguna dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Aplikasi tersebut dibangunkan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan kesihatan terkemuka seperti Babylon, DoctorOnCall dan Artificial Intelligence of Medical Epidemiology (AIME).
Menerusi sistem pemeriksaan kesihatan, pengguna boleh bertanyakan soalan dan mendapatkan nasihat daripada doktor yang berpengalaman dan para saintis.
Selepas itu, aplikasi tersebut akan menganilisis kondisi berdasarkan simptom-simptom yang dinyatakan oleh pengguna.
Penilaian kesihatan pula akan mencipta Kembar Digital dan mendapatkan cadangan praktikal untuk pengguna kekal sihat.
Sementara, perundingan dalam talian membolehkan pengguna menerima khidmat rundingan rawatan dan nasihat daripada doktor yang berkelayakan dan berdaftar. Pakar perubatan itu akan menjalankan diagnosis, mencadangkan rawatan yang betul, dan jika perlu, mereka akan mengeluarkan preskripsi elektronik.
Manakala, fungsi keempat iaitu amaran denggi menyediakan info mengenai zon denggi dan maklumat wabak itu di seluruh Malaysia.
Orang ramai yang berminat boleh muat turun aplikasi ini di Google Play Store dan App Store.
#App Store
#Babylon
#DoctorOnCall
#gaya hidup
#google play store
#insurans
#kesihatan
#Kesihatan Dalam Talian
#PAMB
#PRUDENTIAL