Denda RM50,000 terhadap majikan gagal patuh Akta 446 - Saravanan
Bernama
Ogos 26, 2020 23:31 MYT
Ogos 26, 2020 23:31 MYT
Kegagalan majikan mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dikuatkuasakan sepenuhnya bermula Selasa depan akan dikenakan denda RM50,000 bagi setiap kesalahan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata penguatkuasaan akta itu yang akan dilakukan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) adalah bagi memastikan majikan mematuhi peruntukan dalam undang-undang berkenaan.
"Mulai Selasa depan, majikan perlu mematuhi Akta 446 membabitkan penyediaan perumahan yang sesuai serta kemudahan lain untuk pekerja.
"Kita juga akan sentiasa melakukan lawatan terhadap pemain industri untuk memastikan mereka patuh kepada akta tersebut," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Menara Top Glove di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd (Top Glove), Tan Sri Dr Lim Wee Chai.
Pada 1 Jun lepas, pindaan Akta 446 yang diperluaskan kepada semua sektor pekerjaan bagi menyediakan kemudahan perumahan dan penginapan untuk pekerja telah dikuatkuasakan.
Kerajaan sebelum ini turut memberi penangguhan selama tiga bulan sehingga Isnin ini bagi memberikan ruang kepada majikan membuat persediaan sewajarnya.
Bidang kuasa Akta 446 sebelum ini hanya mencakupi aspek perumahan dan penginapan pekerja di sektor perladangan yang melebihi lapan hektar (20 ekar) dan perlombongan sahaja.
Dalam pada itu, Saravanan berkata pihaknya kini dalam peringkat akhir melaksanakan sistem penggajian e-wages bagi memastikan pembayaran gaji pekerja asing dilakukan secara telus.
Katanya, pelaksanaan sistem berkenaan akan dilakukan secepat mungkin dan ia melibatkan semua sektor industri dalam negara.
Mengulas mengenai isu perkhidmatan penghantaran makanan, minuman dan bungkusan menggunakan motosikal atau 'p-hailing' (parcel-hailing), Saravanan berkata pihak akan berbincang dengan syarikat penyedia untuk mencari penyelesaian berhubung beberapa perkara membabitkan penghantar makanan.
Bercakap mengenai sekatan Amerika Syarikat terhadap Top Glove pula, Saravanan berkata beliau dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Jamil Rakon akan berbincang dengan pemain industri dan pihak berkepentingan untuk mencari jalan penyelesaian.
-- BERNAMA
#Akta 446
#Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia
#JTKSM
#M Saravanan
#Menteri Sumber Manusia
#Top Glove
#undang-undang