Denda RM2,000 jika guna pembungkusan plastik, polisterin mulai September 2017

Astro Awani
Disember 30, 2016 09:31 MYT
Kompaun maksimum sehingga RM2,000 kepada peniaga dan penjaja yang melanggar penguatkuasaan penguatkuasaan larangan pembungkusan plastik - Gambar fail
Kompaun maksimum RM2,000 akan dikenakan kepada peniaga dan penjaja di Wilayah Persekutuan yang menggunakan bungkusan plastik dan polisterin bermula 1 September tahun depan.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, ia susulan penguatkuasaan penggunaan produk bungkusan biodegradasi (boleh urai) yang akan bermula Ahad ini.
Peniaga dan penjaja diberi tempoh sembilan bulan hingga 31 Ogos 2017 untuk pelaksanaan seratus peratus penggunaan bungkusan biodegradasi.
Tempoh itu bagi membolehkan peniaga dan pengguna menyesuaikan diri, pada masa sama mendidik mereka tentang kepentingan dan kelebihan amalan itu kepada alam sekitar.
"Dalam tempoh tersebut, kita menyasarkan agar Kuala Lumpur menjadi bandar raya bebas plastik. Saya menggalakkan rakyat agar berhenti menggunakan beg plastik, sila bawa beg anda sendiri apabila membeli-belah," katanya pada sidang media sempena penguatkuasaan penggunaan produk biodegradasi di sini hari ini.
Inisiatif yang bermula sejak 3 Jun lepas dilancarkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu sebagai usaha holistik menjadikan Kuala Lumpur bandaraya bebas plastik.
Tambah Dr Bala pihaknya telah berbincang dengan pihak pembekal produk pembungkusan biodegradasi untuk memberi kerjasama dalam memudahkan transisi itu.
"Kebiasaannya bahan biodegradasi ini mahal...hasil daripada perbincangan bersama pembekal, mereka telah pun bersetuju untuk menawarkan harga borong yang wajar kepada peniaga-peniaga setanding dengan harga polisterin dan plastik," katanya.
#Datuk Dr Loga Bala Mohan #Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) #polisterin