Denda, penjara lebih lama untuk kesalahan buang sampah dalam sungai - Menteri

Umavathi Ramayah
November 6, 2023 19:41 MYT
Nik Nazmi berkata, kerajaan sedang meneliti untuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang ke atas mana-mana individu yang membuang sampah di sungai. - Foto fail/BERNAMA
BATU CAVES: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim sedang meneliti untuk meningkatkan penguatkuasaan dan hukuman undang-undang ke atas individu yang membuang sampah di sungai.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sehubungan itu beberapa akta berkaitan sudahpun dipinda dan sebahagiannya masih dalam proses pemindaan yang melibatkan peningkatan tempoh hukuman penjara serta jumlah denda.
"Jadi kita tengah tengok bagaimana untuk meningkatkan penguatkuasaan supaya orang akan rasa gerun untuk membuang sampah di kawasan-kawasan sungai.
"Ada beberapa akta sudah dan dalam proses pinda sama ada (tempoh hukuman) penjara atau (jumlah) denda," katanya kepada pemberita selepas meninjau isu pembuangan sampah di Pasar Borong Selayang, di sini pada Isnin.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi memberitahu, sejumlah RM8.2 juta dibelanjakan kerajaan untuk penyelenggaraan sampah di dalam sungai di Kuala Lumpur dan Selangor untuk sembilan bulan pertama tahun ini.
Dari jumlah itu katanya, RM166,320 dibelanjakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan sampah di struktur log boom di kolam takungan banjir Jinjang dan RM150,000 setahun untuk penyelenggaraan sampah anak Sungai Udang.
Menurut beliau, kos penyenggaraan itu dapat dikurangkan sekiranya isu pembuangan sampah ini dapat diatasi bersama bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar dan risiko berlakunya banjir.
"Berdasarkan rekod kerja penyelenggaraan yang telah dilaksanakan, jumlah kutipan sampah di sekitar kolam takungan banjir Jinjang pada tahun 2021 adalah sebanyak 60 tan, manakala 59 tan telah direkodkan pada tahun 2022 dan 36 tan bagi 2023 sehingga September lalu," ujarnya.
#buang sampah dalam sungai #alam sekitar #penguatkuasaan #undang-undang
;