Denda, penjara jika individu Islam tidak hormati bulan Ramadan di Pahang
Sinar Harian
Mac 2, 2025 16:18 MYT
Mac 2, 2025 16:18 MYT
JAIP dalam satu hantaran di facebook menjelaskan perkara tersebut termaktub di bawah Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Negeri Pahang.
KUANTAN: Individu beragama Islam di Pahang yang tidak menghormati bulan Ramadan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda sehingga RM3,000 dan penjara maksimum dua tahun.
Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam satu hantaran di facebook menjelaskan perkara tersebut termaktub di bawah Seksyen 22 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Negeri Pahang.
Kesalahan ini merangkumi perbuatan tidak berpuasa secara terbuka serta menjual makanan, minuman, rokok atau seumpamanya kepada individu Islam pada waktu siang di bulan Ramadan.
"Bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat menanti dengan denda maksimum RM5,000 dan penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali," menurut hebahan itu.
JAIP menasihatkan umat Islam di negeri ini agar menghormati bulan penuh keberkatan dengan menjauhi perkara yang boleh mencemarkan kesuciannya.
"Jangan jadikan Ramadan sekadar menahan lapar dan dahaga, tapi manfaatkan peluang ini untuk memperbaiki diri, memperbanyakkan ibadah, serta menjauhi perkara yang dilarang.
"Jangan ponteng puasa! elakkan perbuatan yang boleh mencemarkan kesucian Ramadan. Ingat, di negeri Pahang, tidak menghormati Ramadan adalah satu kesalahan," katanya. - Sinar Harian