PELABUHAN KLANG: Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 yang berkuat kuasa mulai 7 Julai 2024 memperuntukkan denda maksimum sehingga RM10 juta kepada pelaku jenayah pencemaran alam termasuk pengimportan sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) haram.


Ringkasan AI
  • Pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 yang berkuat kuasa mulai 7 Julai 2024 memperuntukkan denda maksimum sehingga RM10 juta kepada pelaku jenayah pencemaran alam sekitar termasuk pengimportan sisa haram.
  • Pindaan ini bertujuan membendung masalah pencemaran melalui kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), dan pihak berkuasa tempatan (PBT), serta memperkuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pengimportan e-sisa.
  • Dari 21 Mac hingga 19 Jun 2024, JKDM menahan 301 kontena disyaki mengandungi e-sisa, dan tindakan tegas akan diambil terhadap pengimport yang melanggar peraturan termasuk menghantar balik kontena e-sisa ke negara asal mengikut Konvensyen Basel.


Menurut Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, pindaan berkenaan sudah diluluskan di Dewan Rakyat dan sedang dalam proses pewartaan.

"Ia adalah usaha kita untuk membendung masalah ini, sebab itu kita perlu langkah bersepadu daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Sebelum ini, di bawah Seksyen 34B, AKAS 1974, jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya sekali.

"Kesalahan tersebut merupakan penempatan buangan terjadual sama ada di darat atau ke dalam perairan Malaysia, transit atau membenarkan ditransit e-waste (e-sisa) tanpa kelulusan daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar," katanya ketika ditemui di Pelabuhan Klang semasa lawatan kerja dan operasi gempur kemasukan kontena e-sisa di Westport pada Rabu.

Pengimportan buangan terjadual termasuklah e-sisa dari negara-negara ahli kepada Organization for Economic Co-operation and Development (OECD), European Commission (EC) dan Liechtenstein adalah tidak dibenarkan selaras dengan pelaksanaan Ban Amendment Konvensyen Basel.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, JKDM dari 21 Mac 2024 hingga 19 Jun 2024 telah menahan 301 buah kontena disyaki mengandungi e-sisa yang telah memasuki di Malaysia.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati 106 daripada kontena tersebut mengandungi e-sisa dan selebihnya skrap logam.

"Saya ingin tegaskan adalah menjadi dasar negara untuk tidak membenarkan pengimportan e-waste dan tindakan akan diambil kepada pihak pengimport, ejen penghantaran dan logistik, pengangkutan kargo dan 'liners/carriers' yang terlibat dalam pengimportan buangan berbahaya termasuk e-waste secara haram.

"NRES melalui JAS akan terus memperkasa pemantauan dan penguatkuasaan bagi pengimportan e-waste yang digunakan oleh industri kitar semula.

"Tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pengimport yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan termasuklah menghantar balik kontena e-waste import tersebut ke negara asal selaras dengan Artikel 9, Konvensyen Basel," ujar beliau.

Bagi kontena yang melibatkan dagangan e-sisa, kes masih lagi dalam siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.