Denda jika guna telefon bimbit, pakai perhiasan ketika berniaga di bazar Ramadan
Dewi Nur Harasha Alias
Mei 6, 2019 06:22 MYT
Mei 6, 2019 06:22 MYT
Peniaga bazar Ramadan yang menggunakan telefon bimbit, memakai jam tangan dan perhiasan diri ketika mengendalikan makanan boleh dikenakan denda.
Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Ku Nafisah Ku Ariffin berkata, tindakan itu adalah kerana mereka gagal mematuhi peraturan berkaitan aspek pemakaian dan penjagaan kebersihan yang ditetapkan.
Katanya, sepanjang operasi yang dijalankan di bazar Ramadan tahun lepas, sebanyak 128 notis membabitkan nilai kompaun berjumlah RM18,200 dikeluarkan kepada peniaga yang gagal mematuhi syarat yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Antara kesalahan yang sering ditemui adalah berkaitan kebersihan premis, pekerja tidak mendapat suntikan anti-tifoid dan masalah pakaian pengendali makanan.
"Keseluruhan kutipan dari kompaun yang kita dapat adalah RM18,200, agak banyak. Kita lihat banyak berlaku ketidakpatuhan kepada peraturan kebersihan makanan yang telah kita tetapkan, jumlah kutipan tu agak besar.
"Kita harap tahun ini tak lah sebanyak ini, sebab kita dah beri taklimat, sepatunya mereka ikut apa yang diberikan," katanya ketika mengadakan lawatan ke Tapak Bazar Ramadan Bertam Putra bersama Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman di Kepala Batas.
Dalam lawatan itu, JKNPP turut menyampaikan topi dan apron kepada peniaga di bazar berkenaan.
Ku Nafisah berkata, seramai 52 penganjur bazar Ramadan di negeri ini sudah mengikuti taklimat berhubung pengendalian makanan dan penjagaan kebersihan.
Katanya, kebanyakan peniaga mengetahui peraturan yang ditetapkan namun masih ada yang mengambil sikap sambil lewa dengan mengabaikan peraturan.
Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, dia mahu setiap peniaga mengikut syarat dalam mengendalikan makanan kerana ia penting supaya pengguna mendapat sumber yang bersih dan sihat untuk dimakan.
#Bazar Ramadan
#denda
#jendela ramadan
#Ku Nafisah Ku Ariffin
#Peniaga bazar Ramadan
#Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan
#perhiasan diri
#ramadan 1440
#ramadanawani1440
#Telefon bimbit