Denda hingga RM500 jika gagal laksana pengasingan sisa pepejal di punca
Astro Awani
Jun 1, 2016 21:25 MYT
Jun 1, 2016 21:25 MYT
Bermula hari ini, orang ramai yang gagal melaksanakan pengasingan sisa pepejal di punca bakal berdepan tindakan denda.
Ia berikutan penguatkuasaan pengasingan sisa pepejal di punca di enam negeri iaitu Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah, juga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menteri Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, penguatkuasaan itu akan dijalankan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCop).
Beliau berkata, penguatkuasaan itu bertujuan memastikan pelaksanaan inisiatif pengasingan sisa pepejal di punca dilaksanakan sepenuhnya oleh orang ramai.
"Sepertimana yang kita tahu, mereka yang melanggar peraturan ini akan dikenakan denda atau kompaun bermula dengan RM50 bagi rumah atas tanah atau teres. RM50 utk kesalahan pertama, RM100 utk kesalahan kedua, RM500 untuk kesalahan ketiga.
"Untuk rumah bertingkat seperti PPR (projek perumahan rakyat) ini, kita akan kenakan kompaun RM100 bagi kesalahan pertama, RM200 bagi kesalahan kedua, dan ketiga RM500," kata Abdul Rahman.
Beliau ditemui ketika meninjau operasi penguatkuasaan tersebut di projek perumahan rakyat di ibu negara.
Menurutnya, usaha sedang dibuat menerusi penguatkuasaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, Akta 672.
Bagaimanapun, katanya, insiatif itu tidak akan dilaksanakan di Selangor dan Pulau Pinang yang tidak menerima pakai akta tersebut.