Denda dikenakan jika hilang pasport - KP Imigresen
Anthea Yap
Januari 10, 2017 19:56 MYT
Januari 10, 2017 19:56 MYT
Jabatan Imigresen akan mengenakan denda terhadap pemilik pasport yang kehilangan dokumen berkenaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, selama ini tiada sebarang denda yang dikenakan sedangkan ia merupakan dokumen bernilai tinggi dan melibatkan kos kepada jabatan itu.
Jelasnya, selain memastikan masyarakat lebih bertanggungjawab terhadap pasport masing-masing, pendekatan itu dapat mengelak pembaziran kepada jabatan terbabit.
"Satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut sebelum dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2017 di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Jaafar Mohamed dan Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Imigresen, Datuk Ibrahim Abdullah.
Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen, sejumlah 44,528 kes kehilangan pasport dilaporkan sepanjang tahun lepas.
Sebelum ini warga negara yang kehilangan pasport hanya perlu membuat laporan polis dan membuat pasport baharu tanpa dikenakan denda.
Mustafar berkata, langkah itu adalah selaras dengan denda yang dikenakan kerajaan terhadap warga negara yang menghilangkan kad pengenalan.
"Jika denda boleh dikenakan terhadap warga negara yang menghilangkan kad pengenalan, saya rasa pasport juga boleh dibuat sedemikian," katanya.
Sebelum ini, hanya mereka yang kehilangan kad pengenalan dikenakan denda iaitu RM100 bagi kali pertama, RM300 kali kedua dan RM1,000 bagi kali ketiga dan seterusnya.