Demonstrasi pemandu teksi: 'Mereka adalah golongan minoriti' - Pengurus Besar Uber
Bernama
November 18, 2015 20:58 MYT
November 18, 2015 20:58 MYT
Uber, yang mengendalikan rangkaian pengangkutannya sendiri, mengelak persoalan mengenai sama ada ia berhasrat untuk menjadikan perkhidmatannya sah di sisi undang-undang.
Ketika ditanya jika syarikat itu mahu menjadikan operasinya sah, Pengurus Besar Uber di Malaysia Leon Foong menjawab: "Kami menaruh harapan untuk membantu usaha pihak berkuasa di Malaysia membangunkan ekosistem mobiliti bandar yang pintar yang mendukung inovasi dan mengutamakan keselamatan dan kepentingan penumpang dan pemandu di Malaysia".
Ketika ditanya oleh Bernama sama ada sukar untuk Uber berbuat demikian, beliau berkata: "Di Malaysia, seperti yang kami lakukan di seluruh dunia, Uber bekerjasama dengan kerajaan untuk mencapai matlamat bersama, memberi tumpuan kepada pilihan pengangkutan yang selamat, boleh dipercayai dan cekap yang dikawal selia".
BACA: Pemandu teksi Malaysia paling teruk di dunia?
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dilaporkan berkata perkhidmatan Uber iaitu sistem tempahan teksi melalui aplikasi telefon pintar adalah menyalahi undang-undang kerana pemandunya beroperasi tanpa lesen atau permit.
Beliau berkata bahawa pemandu yang ingin menyediakan perkhidmatan itu perlu mempunyai lesen dan permit yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Foong juga memandang remeh mengenai demonstrasi yang diadakan oleh beratus-ratus pemandu teksi di Padang Merbok di sini sebagai membantah perkhidmatan Uber.
Beliau mendakwa bahawa pemandu teksi tersebut adalah golongan minoriti kerana "wakil dari industri teksi sendiri telah bersuara membantah demonstrasi itu."
"Kuala Lumpur tidak harus dikuasai oleh persatuan-persatuan pengusaha teksi yang tidak mengendahkan teknologi pintar dan hidup seperti zaman dahulu," kata Foong.