'Demonstrasi jalanan tidak selesai masalah'

Bernama
November 20, 2016 09:16 MYT
Ribuan peserta Baju Kuning berkumpul berdekatan Menara Berkembar Petronas, KLCC ketika perhimpunan Bersih 5 pada Sabtu. - Astro AWANI/Shahir Omar
Kumpulan Bersih 5 yang mengadakan perhimpunan haram di ibu negara pada Sabtu digesa menghentikan demonstrasi jalanan yang tidak menyelesaikan masalah malah memperjudikan suasana aman damai negara pada ketika ini.
Ketika menyelar tindakan kumpulan itu, beberapa pemimpin negara berkata jika kumpulan itu berhasrat menukar kepimpinan negara, lakukan menerusi pilihan raya.
Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, "Kita seru yang merah (kumpulan baju merah) atau yang kuning (Bersih 5) agar tidak lagi berhimpun untuk pastikan negara kita terus aman damai.
"Tunggulah pilihan raya. Itu medan utama (untuk membuat perubahan)," katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis perjumpaan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) peringkat negeri Terengganu di Stadium Negeri di sini pada Sabtu.
Ahmad Razif berkata banyak platform lain bagi menyuarakan pandangan mereka dan salah satu cara adalah menerusi para pemimpin dan wakil rakyat untuk membawa segala permasalahan dan pandangan untuk perhatian kerajaan.
Sementara itu, Ahmad Razif dalam ucapannya mahu barisan JKKK seluruh negeri memainkan peranan penting dalam merealisasikan kemenangan BN dalam PRU14 nanti.
Sehubungan itu JKKK diminta bertindak dengan keadaan luar biasa dan perlu mencabar dari kelaziman termasuk berfikir di luar kotak bagi memastikan kemenangan itu.
Ahmad Razif turut mengumumkan sebanyak RM5,000 akan diberikan kepada JKKK sebagai persiapan mereka melakukan aktiviti bersama komuniti di kawasan masing-masing tahun depan.
Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengingatkan rakyat agar tidak melakukan sesuatu perkara yang melampaui batas dalam hendak menaikkan seseorang pemimpin.
Katanya, mereka harus menunggu sehingga pilihan raya akan datang untuk memilih siapa yang mereka mahu sebagai pemimpin.
Beliau berkata setiap kepimpinan di negara ini dipilih melalui pilihan raya dan hanya itu saluran terbaik untuk menyatakan sokongan atau bantahan rakyat terhadap seseorang pemimpin.
"Nak naikkan seseorang pemimpin adalah melalui pilihan raya, nak jatuhkan (pemimpin) pun, tunggulah pilihan raya nanti," katanya semasa berucap pada majlis Perasmian Sekolah Agama Sungai Ara dekat sini, pada Sabtu.
Beliau berkata rakyat juga dinasihatkan agar tidak cepat menyebarkan (viral) berita-berita tidak sahih, sebaliknya mendapatkan pengesahan terlebih dahulu bagi mengelakkan berlaku salah faham sehingga memecah-belahkan masyarakat.
Di Melaka, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, perhimpunan haram Bersih, mengancam keamanan hidup masyarakat dan merosakkan imej negara.
Beliau berkata perhimpunan itu diadakan pihak tertentu bagi menimbulkan ketakutan dan mencetuskan ketegangan di kalangan masyarakat dengan mengatakan negara kini dalam keadaan cukup tertekan.
"Kalau benar-benar tidak mahu kerajaan hari ini memerintah, tungguhlah pilihan raya nanti. Pilihan raya akan tetapkan.
"Jadi jangan kita menafikan proses yang ada dek kerana tamak kuasa dan mahu keturunan sendiri memegang tampuk kuasa," kata Idris.
"Saya yakin di Kuala Lumpur hari ini berhadapan situasi kekosongan dengan tidak ada pengunjung yang datang termasuk pelancong turut akan mengelakkan diri daripada datang membeli-belah ke ibu kota," katanya.
Terdahulu, beliau menghadiri Istiadat Penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob sempena sambutan ulang tahun Ke-78 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, penganjur perhimpunan Bersih tidak akan mencapai matlamatnya untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia dengan cara demostrasi jalanan.
Beliau berkata Malaysia merupakan sebuah negara mengamal sistem Demokrasi Berparlimen jadi setiap lima tahun akan ada Pilihan Raya Umum dan mengapa nak buat himpunan jalanan.
"Jadi saya berpendapat dengan cari perhimpunan jalanan yang tidak demokratik ini, penganjur Bersih ini tidak akan mencapai matlamat mereka untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia," katanya.
Dr Hilmi bercakap kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang bantuan elaun sara hidup kepada nelayan-nelayan di Balik Pulau.
Beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi telah menyediakan pelbagai ruang, pentas dan platform kepada rakyatnya untuk meluahkan pandangan tetapi bukan dengan cara himpunan jalanan.
Khamis lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengklasifikasikan perhimpunan Bersih 5.0 ini sebagai demonstrasi haram kerana gagal mematuhi peruntukan undang-undang khususnya Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. -- Bernama
#Ahmad Razif Abdul Rahman #Bersih 5 #Jamil Khir
;