Demonstrasi jalanan bukan teladan pada rakyat - Najib
Rahimah Abdullah
September 13, 2015 23:11 MYT
September 13, 2015 23:11 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan demonstrasi jalanan serta mengaibkan pemimpin bukan jalan tengah yang boleh menjadi contoh dan teladan kepada rakyat.
Pada masa sama beliau menggesa masyarakat bersikap rasional dalam melakukan apa juga tindakan.
"Apabila kita cintakan negara kita, kita tidak buat sesuatu yang terlalu 'ekstrem' dan keterlaluan. Kita akan balik kepada jalan tengah dan jadi orang yang rasional dan waras dalam semua tindakan.
"Justeru, mengadakan demonstrasi jalanan, mengaibkan pemimpin bukan jalan tengah yang menjadi contoh teladan kepada kita semua," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Makkal Sakti ke-7 di Menara Bank Rakyat, di ibu negara.
Beliau memberi contoh parti Makkal Sakti yang sentiasa menyokong kerajaan dan menolak perhimpunan Bersih 4.
"Saya hargai Makkal Sakti kerana tidak menyokong Bersih 4. Saya yakin tuan-tuan semua yakin kepada kerajaan bahawa tidak boleh buat huru-hara dalam negara," kata Najib.
Tambahnya, perkara yang menjurus kepada ketidakstabilan politik tidak akan memanfaatkan negara.
"Sudahlah ekonomi dunia menghadapi kemelut, ia ditambah lagi dengan ketidakstabilan politik yang hanya akan menyebabkan negara tidak mampu bergerak ke hadapan, sebaliknya akan ke belakang," katanya lagi.
Perdana Menteri menegaskan, kekuatan yang ada pada negara menyebabkan Malaysia mampu menghadapi krisis dengan baik berbanding apa yang dihadapi pada masa lalu.
"Apa yang kita lalui (sekarang) tidak seberat krisis kewangan dan isu yang menimpa (negara) masa lalu.
"Kita berjaya (menghadapi krisis). Kenapa? Ini kerana kita ada resilient. Apa bentuk? Ia adalah kepelbagaian dari segi kaum, budaya dan pendapat berbeza, namun kita adalah rakyat Malaysia yang cintakan negara," tegas Najib.
Justeru katanya, dalam apa yang penting adalah rakyat memberikan sokongan kepada kerajaan dalam usaha memastikan apa jua matlamat negara mampu dicapai.