Demonstrasi gabungan NGO tidak mahu Nurul Izzah, Tian Chua ke Sabah

Ridzal Abdullah
November 25, 2015 17:42 MYT
Walaupun Nurul Izzah sudah meminta maaf atas tindakannya, masih ada pihak yang terguris hati dan tidak menerima permohonan maaf tersebut. - Gambar fail
Gabungan agensi bukan kerajaan (NGO) Sabah meminta kerajaan negeri menghalang Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Batu Tian Chua daripada datang ke Sabah.
Gesaan itu berikutan tindakan Nurul berjumpa dan bergambar dengan anak perempuan kepada penceroboh Sabah, Jamalul Kiram III, iaitu Jacel Kiram.
“Kita mahu menyampaikan mesej ini kepada semua wakil rakyat dan juga kepada Nurul dan Tian Chua, jangan sesekali kamu pijak kaki kamu ke Sabah.
“Kami tidak mahu terima nama Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua ini. Jangan datang lagi ke Sabah,” kata presiden gabungan tersebut, Zulkarnain Mahdar.
Tambahnya, rakyat Sabah tidak menerima dan tidak akan memaafkan Nurul Izzah walaupun Ahli Parlimen Lembah Pantai itu telah menyatakan kesalahannya dan memohon maaf.
“Hati kami sudah terguris,” kata Zulkarnain lagi.
Mesej dari gabungan NGO pro-Barisan Nasional itu telah disampaikan Zulkarnain semasa membuat perhimpunan aman kepada wakil Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 350 orang itu mengecam dan meminta agar tindakan diambil bagi memastikan kedua-dua individu tersebut tidak dibenarkan masuk ke Sabah lagi.
Demonstrasi itu bagaimanapun berlangsung dalam keadaan terkawal dengan pengawasan pihak polis.
Pada 2013, Jamalul Kiram III menjadi pengatur di sebalik pencerobohan di lahad Datu hingga mengorbankan anggota keselamatan dan yang telah mencoroboh serta mengorbankan anggota pasukan keselamatan Malaysia.
#demonstrasi NGO #Jacel Kiram #Nurul Izzah #pencerobohan Sabah #Tian Chua
;