Demonstrasi Bukit Aman: Noh Omar persoal tindakan Majlis Peguam

Bernama
April 6, 2016 21:48 MYT
NOH: Majlis Peguam seharusnya tidak mengamalkan budaya demonstrasi yang sering dilakukan oleh pembangkang, sebaliknya mengikut prosedur dan garis panduan dalam bidang perundangan.
Seorang anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini mempersoal kredibiliti Majlis Peguam yang didakwa lebih banyak melakukan tindakan membelakangi undang-undang.
Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) mempersoal tindakan Majlis Peguam yang berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 1 April lepas, susulan polis ingin merakam kenyataan empat anggotanya.
"Majlis Peguam sebagai badan yang mempunyai kredibiliti dan profesional dalam perihal berkaitan undang-undang, kenapa mengeluarkan surat pekeliling untuk mengadakan demonstrasi di depan Bukit Aman?
"Ini sudah membelakangi undang-undang," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Profesion Undang-undang (Pindaan) 2015 di Dewan Rakyat di sini.
Noh berkata Majlis Peguam seharusnya tidak mengamalkan budaya demonstrasi yang sering dilakukan oleh pembangkang, sebaliknya mengikut prosedur dan garis panduan dalam bidang perundangan.
"Saya minta pindaan (rang undang-undang) dibuat secara menyeluruh kerana kita lihat hari ini, Majlis Peguam dilihat seperti cakap tidak serupa bikin sama macam pembangkang, menjadi jurucakap kepada pembangkang, tidak menghormati undang-undang dan hanya memberi keadilan pembelaan kepada seseorang yang mereka melihat menjadi pemimpin kepada mereka," katanya.
Kenyataan Noh itu, bagaimanapun mendapat tentangan N. Surendran (PKR-Padang Serai) yang menegaskan bahawa Majlis Peguam sebagai satu badan yang sepatutnya dibanggakan kerana ia dipandang tinggi oleh badan perundangan antarabangsa sejak dahulu.
"Majlis Peguam dikenali sebagai satu badan yang berani, berdiri atas prinsip dan selalu menyoal di mana ada ketidakadilan ataupun percanggahan kepada hak asasi dan sebagainya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita perlu bangga dengan Majlis Peguam, bukan mengkritik mereka," katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri ketika menggulung perbahasan RUU itu, berkata pindaan RUU tersebut bukanlah bertujuan untuk menyelamatkan akta demi menjaga kepentingan mana-mana individu, tetapi menjaga kepentingan badan peguam dan seluruh anggotanya.
"Kita janganlah menganggap Majlis Peguam sebagai musuh, kalau Yang Berhormat tanya dengan ahli Majlis Peguam tentang bagaimana saya bekerja rapat dengan Majlis Peguam, kerana kerjasama antara kita boleh membantu.
"Jadi kita tidak melihat dari segi mengkritik, bagi saya sendiri, saya berinteraksi dengan Majlis Peguam, tidak pun terlintas memikirkan mereka adalah musuh kita," katanya.
RUU itu antaranya memperuntukkan mana-mana peguam bela dan peguam cara yang telah diterima masuk sebagai seorang peguam bela dan peguam cara dan menjalankan amalan di Semenanjung, adalah tertakluk kepada apa-apa tindakan tatatertib oleh Lembaga Tatatertib sekiranya mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan di bawah akta itu bagi menjaga integriti profesion peguam.
Lembaga Tatatertib yang ditubuhkan di bawah Seksyen 93 Akta 166 mempunyai kuasa untuk membuat keputusan, antaranya menggantung mana-mana peguam bela dan peguam cara yang terlibat dengan kesalahan salah laku daripada menjalankan amalan bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi lima tahun.
Rang undang-undang itu kemudian diluluskan.
#demonsrasi di depan Bukit Aman #Majlis Peguam #Noh Omar #tindakan membelakangi undang-undang
;