Demonstrasi aman peniaga tuntut k'jaan P.Pinang pulangkan trak makanan
Bernama
Ogos 3, 2017 17:13 MYT
Ogos 3, 2017 17:13 MYT
Sekumpulan peniaga dan pekerja mereka mengadakan demonstrasi aman bagi menuntut kerajaan negeri memulangkan semula sebuah trak makanan yang dirampas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Selasa lepas.
Anggota Parlimen Belia Malaysia Pulau Pinang Mohamad Nazri Abdul Latif yang mewakili kumpulan itu mendakwa MBPP merampas trak makanan milik seorang peniaga cendol, Zulshahrizal Erwan Mohd Zulkifli, 34, tanpa sebarang notis pemberitahuan.
"Pihak MBPP rampas pada hari Selasa pukul 11.30 malam. Pada ketika itu, trak makanan itu diletak di kawasan letak kenderaan penduduk di Kondominium Pearl Garden, Sungai Ara. Mereka tak ambil kenderaan lain, cuma trak makanan itu sahaja mereka ambil.
"Kami buat laporan polis sebab sangka kenderaan dicuri. Tetapi kami dimaklumkan pihak MBPP yang ambil trak makanan itu. Kami bagi 24 jam untuk MBPP pulangkan semula trak milik peniaga ini, namun sehingga kini tidak ada tindakan daripada pihak terbabit," katanya kepada pemberita di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini hari ini.
Kumpulan itu turut membawa sepanduk, durian dan laksa sebagai simbolik menunjukkan ketidakpuasan mereka terhadap tindakan kerajaan negeri merampas kenderaan tersebut dan tidak mengeluarkan lesen kepada peniaga trak makanan.
Mereka kemudiannya berkumpul dan membawa makanan itu di hadapan pejabat MBPP di Tingkat 3, Komtar untuk diserahkan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng dan exco kerajaan negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim, namun mereka tidak dibenarkan masuk.
Mereka kemudian menyerahkan dua surat tuntutan kepada wakil kerajaan negeri, Zahar Zainul.
Mohamad Nazri berkata surat tuntutan itu antara lain meminta kerajaan negeri memulangkan semula trak makanan berkenaan tanpa dikenakan sebarang bayaran dan meminta kebenaran untuk berniaga di tapak berhadapan Kondominium Pearl Garden, Sungai Ara dekat sini.
Sementara itu, Zulshahrizal Erwan berkata dia menyara keluarga dengan hasil jualan cendol dan kini kehilangan sumber pendapatan selepas trak makanan tersebut dirampas.
"Saya mula berniaga sejak 2015. Ini kali pertama mereka rampas trak makanan saya. Dah dua hari saya tak ada sumber pendapatan. Jadi, saya harap pihak MBPP dapat pulangkan semula tanpa saya perlu bayar apa-apa," katanya.
Zulsharizal Erwan berkata dia ada memohon lesen, bagaimanapun MBPP memaklumkan lesen tidak dikeluarkan kepada peniaga trak makanan.
"Mereka kata tak pernah keluarkan lesen untuk perniagaan food truck, jadi, macam mana kami nak memohon. Dua minggu sekali MBPP mai ambil kerusi dan meja kami. Macam mana kami nak berniaga," katanya.
-- BERNAMA
#demonstrasi
#Lim Guan Eng
#Majlis Bandaraya Pulau Pinang
#MBPP
#Mohamad Nazri Abdul Latif
#Parlimen Belia Malaysia
#peniaga
#pulau pinang
#rampas
#trak makanan