Demokrasi berparlimen jadi keutamaan, jangan heret institusi beraja - Pakar Perlembagaan

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 15, 2020 17:50 MYT
Menghormati gesaan yang dibuat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Shamrahayu berkata, Parlimen merupakan platform terbaik dalam menyelesaikan krisis kepimpinan ketika ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Demokrasi berparlimen perlu menjadi keutamaan sebelum mengheret institusi beraja dalam sebarang krisis politik.
Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, sifat tanggungjawab dan kebijaksanaan Ahli-ahli Parlimen perlu diutamakan dalam menyelesaikan krisis mengikut lunas Perlembagaan.
Menghormati gesaan yang dibuat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, Shamrahayu berkata Parlimen merupakan platform terbaik dalam menyelesaikan krisis kepimpinan ketika ini.
"Dalam konteks ini, kita mengambil contoh Tengku Razaleigh sebagai seorang ahli politik yang sangat senior memilih mengambil pendekatan sebegini.
BACA: Azhar nafi PM halang usul undi tidak percaya dibahas di Dewan Rakyat
"Ia supaya isu ini tidak mengheret satu lagi institusi iaitu Raja Berperlembagaan dalam kancah atau krisis yang dicipta oleh demokrasi itu sendiri.
"Pada saya, institusi Yang di-Pertuan Agong ini boleh membantu menstabilkan keadaan. Keadaan itu hendaklah dibantu kestabilannya oleh demokrasi berparlimen dengan kerajaan dan Ahli Parlimen yang bertanggungjawab kerana ini yang rakyat mahukan sebenarnya," katanya kepada Astro AWANI.
Tegasnya, wujud persoalan sama ada krisis politik ketika ini sudah sampai ke satu tahap yang memerlukan campur tangan institusi beraja ataupun tidak.
BACA: Gerakan Ku Li raih lebih majoriti, pinggir Anwar, 'UMNO' bermasalah?
"Dalam menentukan keberkesanan demokrasi berparlimen itu, saya menyeru kepada semua Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, kembalilah kepada sistem demokrasi berparlimen.
"Kita tunjukkan pada dunia kita mempunyai demokrasi berparlimen yang berkesan.
"Sekiranya demokrasi itu gagal, maka Yang Di-Pertuan Agong atau institusi beraja itu boleh menjadi pemangkin kepada kestabilan dan kemakmuran negara," katanya.
BACA: Beri sokongan padu kepada Muhyiddin Yassin - Pas
Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan dibuat Tengku Razaleigh supaya usul undi tidak percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri perlu diberi keutamaan.
Ia bagi memastikan keabsahan kerajaan yang dibentuk, selain mengelak sebarang krisis pentadbiran wujud pada masa akan datang.
#krisis politik #peralihan kerajaan #sokongan parti politik #masalah politik #undi tidak percaya #tidak percaya perdana menteri #Raja Berperlembagaan #peranan institusi beraja #Tengku Razaleigh Hamzah
;