Demi cinta, rakyat Malaysia luar negara atasi segala halangan pastikan undi mereka sampai
Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 15, 2018 06:56 MYT
Mei 15, 2018 06:56 MYT
Sangat menyentuh hati. Kagum. Seakan tidak percaya.
Ramai tidak menyedari betapa gigihnya anak-anak Malaysia yang tinggal di luar negara turut ingin sama mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang berakhir baru-baru ini.
Lebih tersentuh apabila ada di antara mereka yang sanggup menaja tiket penerbangan untuk rakyat Malaysia yang mahu pulang bagi menghantar kesemua kertas undi yang dikumpulkan.
Mereka berdaftar sebagai pengundi pos tetapi atas sebab tertentu, kertas undi sampai lewat ke tangan mereka, menyebabkan mereka tidak sempat menghantarnya kembali ke Malaysia melalui pos.
Tinggal 72 jam sebelum saat pusat mengundi di seluruh Malaysia ditutup tepat jam 5 petang 9 Mei, ratusan rakyat Malaysia di luar negara termasuk di Hong Kong, UAE, New Zealand, Australia, mengatur satu 'gotong royong' mengumpul sebanyak mungkin kertas undi untuk dibawa pulang.
Kesemuanya dilakukan dengan rela hati dan atas dasar semangat yang sangat tinggi kerana sayangkan Malaysia.
Mereka juga tidak menyangka ramai sebenarnya rakyat Malaysia lain yang prihatin dan sudi tampil memberikan pertolongan apabila menyedari usaha yang sedang mereka lakukan.
Saksikan rangkuman video yang boleh diberikan pujian tertinggi sebagai manifestasi semangat patriotik terhadap bumi bertuah Malaysia ini oleh mereka yang wajar diiktiraf sepenuhnya.
Di akhir video tersebut, sebahagian daripada mereka hampir menitiskan air mata apabila usaha mereka itu akhirnya berjaya.
#air
#anak
#luar negara
#Malaysia
#MalaysiaMemilih
#penerbangan
#pulang mengundi
#rakyat
#rakyat Malaysia
#undi pos
#video